Jumlah kluster, kes aktif menurun

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di negara ini mencecah 14,121 setelah sebanyak 63 kes baharu dicatatkan hari ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata terdapat 32 tambahan kes baharu kepada 12 kluster aktif sedia ada hari ini yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

“Sementara itu, dua kluster baharu juga dikesan yang melibatkan 10 kes iaitu Kluster Nur Naziba Construction staff house dan Kluster M. Rahman construction staff house yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” katanya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan, empat kluster telah ditamatkan setelah tidak ada kes dikesan selama 28 hari, iaitu Kluster Fazrul Sdn Bhd, Kluster LNS Sdn Bhd, Kluster 7110 dan Kluster 7215, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 169 kluster.

Manakala, terdapat 21 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Seramai 89 pesakit telah disahkan sembuh hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di negara ini kepada 13,322 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 702 kes,” jelasnya lagi.

Dalam kalangan kes yang sedang dirawat sekarang, lima kes dalam kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif, dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan dengan satu daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO).

“Sementara itu, tiga kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan berada di bawah pemantauan rapi,” tambah beliau.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,896 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 552,959 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru orang ramai untuk memohon kepada Allah SWT agar semua rakyat dan penduduk negara ini dirahmati dan dilindungi.

“Semoga kitani semua mensyukuri atas nikmat kesihatan yang diberikan dan memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya, di samping menyahut saranan pihak kerajaan ketika pandemik COVID-19 ini. Mudah-mudahan kitani semua terus diberikan pertolongan dan hidayah, dan dikurniakan kejayaan dalam mengawal wabak ini jua,” kata Yang Berhormat Dato.