Jumlah korban Amphan cecah 84 orang

SATKHIRA, BANGLADESH, 21 MEI – India dan Bangladesh memulakan pembersihan besar-besaran hari ini selepas siklon ganas sejak 1999 membunuh kira-kira 84 orang, meninggalkan kesan kemusnahan ke atas negara tersebut.

Siklon Amphan telah meranapkan rumah-rumah, mencabut pokok, menerbangkan bumbung rumah dan menumbangkan pilon elektrik, sementara kampung-kampung dibanjiri dan ladang udang yang menjadi nadi penting kepada ekonomi tempatan turut musnah.

Pejabat PBB di Bangladesh menganggarkan 10 juta penduduk terjejas dan kira-kira 500,000 penduduk mungkin telah kehilangan rumah mereka.

Namun jumlah kematian jauh lebih rendah daripada ribuan orang yang terkorban dalam siklon sebelumnya – disebabkan ramalan kaji cuaca yang dipertingkatkan dan rancangan respons yang lebih baik.

Bencana tersebut telah menimbulkan kebimbangan, bagaimanapun kesesakan dalam kawasan penempatan ribut mangsa-mangsa akan memburukkan lagi penularan koronavirus.

Orang ramai dan pasukan polis berkumpul dekat sebatang pokok yang tumbang menghempap tiang elektrik di jalan raya selepas Amphan mendarat di Kolkata pada 21 Mei. – AFP

Bengal Barat India melaporkan 72 kematian – termasuk 14 di bandar Kolkata – dengan perdana menteri Mamata Banerjee berkata, ’Saya tidak pernah menyaksikan bencana dengan magnitud sedemikian’.

Di Bangladesh, jumlah korban rasmi adalah seramai 12 orang.

Ramalan kaji cuaca dipertingkatkan bermaksud Bangladesh berjaya memindahkan kira-kira 2.4 juta orang ke penempatan perlindungan atau keluar dari laluan langsung ribut itu, sementara India memindahkan kira-kira 650,000.

Kira-kira 10 juta orang masih lagi tanpa bekalan elektrik hari ini di daerah yang paling teruk di landa di Bangladesh, kata Moin Uddin, ketua lembaga elektrik luar bandar.

“Banyak tiang elektrik tumbang selepas ia dibadai siklon atau disebabkan pokok tumbang. Transformer, konduktor dan meter juga telah dimusnahkan,” ujarnya kepada AFP. – AFP