Jumlah korban banjir meningkat 20

BRAZIL, 28 DIS – Angka korban akibat hujan lebat melanda negeri Bahia, timur laut Brazil meningkat kepada 20 nyawa kelmarin dan 358 lagi cedera, lapor Xinhua, memetik laporan baharu dikeluarkan pihak berkuasa pertahanan awam negeri itu.

Jumlah mangsa yang terjejas turut meningkat kepada 470,000, dan 100 daripada 116 buah kawasan telah diisytiharkan darurat, menurut data yang dikeluarkan majlis perbandaran.

Hujan berterusan menyebabkan jambatan dan berpuluh-puluh rumah runtuh, manakala jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan. 

Menurut Institut Meteorologi Kebangsaan, jumlah taburan hujan yang tinggi telah memusnahkan selatan Bahia sejak November dan dijangka berlanjutan minggu ini dan sehingga Januari.

Negeri Maranhao, Ceara dan Sao Paulo mengumumkan akan menghantar anggota bomba bagi membantu kawasan terjejas. – Bernama