VIENNA, 16 SEPT – Jumlah korban telah meningkat kepada 11 orang akibat ribut kuat yang mencetuskan banjir di Eropah Timur dan Tengah, kata pihak berkuasa hari ini, selepas mangsa tambahan dilaporkan di Austria dan Republik Czech.
Sejak Khamis, kawasan luas di Austria, Republik Czech, Hungary, Romania dan Slovakia telah dibadai angin kencang dan hujan lebat yang luar biasa.
“Dua orang, berusia 70 dan 80 tahun, ditemui meninggal dunia di rumah mereka pada malam dari Ahad ke Isnin di wilayah Lower Austria yang bersempadan dengan Republik Czech,” beritahu polis kepada AFP, hari ini.
Kedua-dua mangsa itu maut di dua kampung yang berlainan akibat paras air yang meningkat di rumah mereka, tambah polis.
Di Republik Czech, pihak berkuasa memberitahu sebuah stesen radio seorang individu lemas di sebatang anak sungai berhampiran Bruntal di timur laut, sementara tujuh orang dilaporkan hilang.
Seramai 11 orang kini telah terkorban di timur dan tengah Eropah akibat ribut tersebut dan berjuta-juta orang telah dipindah dari rumah mereka.
Pada hujung minggu, enam orang maut dan seorang lagi hilang di Romania, manakala seorang lemas di Poland serta seorang anggota bomba terbunuh di Austria semasa operasi menyelamat. – AFP