Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Jumlah mangsa gempa terus meningkat

    BEIJING, 7 SEPT – Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda barat daya China meningkat kepada 74 orang, menurut laporan media negara hari ini, ketika ribuan penduduk dipindahkan ke tempat perlindungan sementara dan hujan lebat mungkin menyebabkan lebih banyak kejadian tanah susur.

    Gempa berukuran 6.6 magnitud berlaku kira-kira 43 kilometer tenggara bandar Kangding di wilayah Sichuan pada kedalaman 10 kilometer pada Isnin, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

    Akhbar People’s Daily melaporkan bahawa 34 orang maut di bandar Ya’an, wilayah Sichuan, manakala 40 lagi dilaporkan di berhampiran Ganzi.

    Lebih 21,000 orang telah dipindahkan dari kawasan yang terdedah kepada kejadian tanah susur atau bangunan runtuh, menurut penyiar negara CCTV.

    Para penyelamat masih mencari mangsa yang terselamat daripada gempa, dengan berpuluh-puluh penduduk dipercayai terkandas atau hilang.

    “Kepala saya tersekat di antara dua tiang, dan kaki saya dihimpit oleh meja,” kata seorang wanita yang terperangkap selama hampir lima jam di bawah runtuhan di bandar Moxi, salah sebuah kawasan yang teruk terjejas, memberitahu Red Star News.

    Dalam satu rakaman yang disiarkan oleh CCTV menunjukkan guru-guru tadika mengejutkan kanak-kanak dan bergegas membawa mereka ketika gempa berlaku.

    Gempa itu juga menggegarkan bangunan-bangunan di ibu kota wilayah Chengdu, di mana jutaan penduduk terkurung di rumah masing-masing disebabkan perintah berkurung COVID yang ketat, dan di bandar mega berhampiran Chongqing, penduduk memberitahu AFP.

    Sekurang-kurangnya 13 gegaran susulan dengan ukuran 3 magnitud dan ke atas telah dicatatkan seawal 7 pagi waktu tempatan, kelmarin, menurut Pusat Rangkaian Gempa China.- AFP

    Anggota penyelamat berjalan melintasi bongkah batu yang jatuh akibat tanah susur ketika mereka menuju ke kawasan yang terjejas oleh gempa di Bandar Ya’an.- AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...