Jumlah pekebun kecil Sabah miliki MSPO masih rendah

TAWAU, 12 OGOS – Jumlah pekebun kecil kelapa sawit di Sabah yang mendapat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) masih rendah akibat kekangan termasuk tidak mengetahui kewujudan perkara itu serta kecewa dengan harga komoditi itu yang rendah, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Menurutnya, setakat 30 Jun lepas, hanya 46 peratus atau 10,303 hektar daripada jumlah keseluruhan kawasan tanaman sawit pekebun kecil persendirian sebanyak 223,000 hektar di Sabah, telah memperoleh sijil MSPO berkenaan.

“Saya ingin memaklumkan pekebun kecil bahawa kos mendapatkan pensijilan MSPO adalah dibiayai kerajaan sehingga akhir tahun ini. Anda hanya perlu tampil untuk membuat permohonan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat MSPO dan sesi dialog bersama penanam sawit Sabah di sini, hari ini.

Kok turut meminta bantuan persatuan berkaitan di negeri itu untuk memaklumkan  267 pengusaha perusahaan kecil dan sederhana tanaman sawit agar tampil mendapatkan MSPO.

Jelas beliau, kerajaan sebenarnya turut berusaha menangani harga rendah itu seperti bekerjasama dengan pihak swasta untuk meninjau dan membuka pasaran baharu.

“Saya juga akan ke beberapa negara Afrika, Jepun, Eropah dan Vietnam dalam beberapa bulan lagi untuk bertemu dengan pembeli dan pengimport minyak sawit,” katanya. – Bernama