Jumlah pelanggaran Ops Pulih berkurangan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Hasil pemantauan agensi-agensi penguatkuasaan semasa larangan keluar rumah daripada pukul 8 malam hingga 4 pagi tadi, sebanyak 12 pelanggaran arahan tersebut telah dikeluarkan denda kompaun di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menambah, sembilan daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah.

Yang Berhormat Dato mengongsikan statistik itu semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan di mana beliau sekali lagi menekankan kepada orang ramai untuk mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan untuk bersama-sama mengawal penularan COVID-19 di negara ini.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan terkini pula mengongsikan bahawa kesemua 12 kesalahan berkenaan telah didapati di Daerah Brunei Muara.

Menurut kenyataan itu, sejak Operasi Pulih mula dilaksanakan pada 4 Oktober lalu, sebanyak 407 kesalahan telah direkodkan. PPDB turut mengingatkan orang ramai bahawa jika ada yang didapati ingkar, tindakan denda kompaun berjumlah $500 akan dikenakan ke atas mereka yang melanggar perintah arahan tersebut.

Ini juga termasuk beberapa lagi kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan denda kompaun di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Kerjasama masyarakat awam di negara ini adalah amat mustahak dalam sama-sama menamatkan terus rantaian jangkitan wabak ini, hakikatnya kesemua perancangan yang diatur oleh pihak kerajaan memerlukan kesungguhan, komitmen, kesabaran dan ketabahan secara berterusan, jelas kenyataan tersebut.

PPDB juga menasihatkan untuk sentiasa berwaspada, akur dan juga patuh terhadap perancangan pihak kerajaan bagi kepentingan dan kemaslahatan hidup bernegara.

Anggota polis berbasikal memeriksa salah seorang pemandu pada Operasi Pulih malam kelmarin.