Jumlah pelombong maut meningkat

JAKARTA, 6 Mac – Angka kematian akibat runtuhan lombong emas yang berlaku di utara Jakarta minggu lalu meningkat kepada 16 orang tatkala harapan mencari mangsa yang terselamat bertukar pudar, menurut seorang pegawai hari ini.

Seramai 18 orang telah berjaya dikeluarkan secara hidup-hidup dari lombong haram itu yang terletak di Pulau Sulawesi, namun masih tidak jelas jumlah mangsa yang terperangkap ketika kejadian berlaku, Selasa lalu.

Usaha menyelamat secara berhati-hati dan teliti telah berdepan halangan berikutan rupa bumi yang curam, tanah yang tidak stabil dan laluan perlombongan yang sempit serta berbahaya.

Sementara itu, menurut jurucakap agensi bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata “pasukan pemindahan telah bekerja selama 24 jam tanpa henti sejak Isnin lalu,” setelah tapak berkenaan disahkan selamat untuk pasukan mencari.

Dua buah mesin pengorek telah digunakan untuk membersihkan kawasan berkenaan bagi mencari lebih banyak mangsa yang berkemungkinan terperangkap di dalam lombong, kata Sutopo.

Terdahulu, pasukan mencari dan menyelamat terpaksa menggunakan tangan untuk mencari mangsa yang tertimbus selama beberapa hari setelah kejadian berlaku berikutan keadaan yang sangat berbahaya.

Semalam, mereka juga terpaksa menghentikan operasi pencarian seketika apabila batu terjatuh ke atas pasukan itu. – AFP