Jumlah pendatang menurun – Mexico

MEXICO, 18 JULAI – Jumlah pendatang tanpa dokumen yang memasuki Mexico dengan harapan untuk sampai ke Amerika Syarikat (AS) menurun hampir satu pertiga pada Jun, menurut pejabat luar, namun memberi amaran bahawa krisis itu masih berterusan sekiranya jumlah itu tidak menurun lagi.

Kira-kira 100,000 orang, kebanyakannya warga Amerika Tengah, memasuki Mexico pada Jun, berbanding 144,000 pada bulan sebelumnya, menurut Timbalan Menteri Luar bagi Amerika Latin dan Caribbean, Maximiliano Reyes kepada para wartawan.

Berdepan ancaman tarif eksport dari Washington sekiranya ia gagal mengurangkan aliran masuk pendatang tanpa dokumen ke AS, Mexico telah mengerahkan ribuan anggota tentera dan polis di sempadannya pada Jun dan mempercepatkan penghantaran balik.

Sekiranya jumlah besar merentasi negara itu berterusan, akan timbulnya “risiko terpendam pada krisis kemanusiaan atau perkara yang tidak baik akan terjadi,” kata Reyes.

Dalam beberapa tahun kebelakangan, kira-kira 500,000 pendatang merentasi Mexico setiap tahun dalam pencarian ‘Impian Amerika’.

Kebanyakan mereka berasal dari Honduras, Guatemala dan El Salvador, melarikan diri dari kemiskinan dan keganasan yang berpunca daripada penyeludupan dadah atau kumpulan jenayah.

Bagaimanapun, sejak Oktober, sejumlah pendatang telah membentuk karavan besar merentasi Amerika Tengah dan Mexico menuju ke AS sehingga mencetuskan amaran kepada AS, di mana para pendatang berharap untuk mendapatkan perlindungan. – AFP

Kelihatan seorang pendatang berjalan bersama dua orang anaknya di luar pintu masuk El Chapparral, Tijuana, Mexico. – AFP