Jumlah penderma darah meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Pada 2019, Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal telah mencatat sebanyak 16,025 kutipan darah yang disumbangkan oleh 13,501 penderma darah termasuk 2,120 penderma darah baharu yang berdaftar.

Pada 2018 pula, sejumlah 15,537 kutipan darah telah dicatatkan termasuk 3,234 penderma darah baharu berdaftar.

“Alhamdulillah, peningkatan sebanyak 3 peratus (488 unit darah) dalam kutipan darah telah dapat dilihat pada 2019 berbanding kutipan darah pada tahun 2018,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) dalam perutusannya sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2020, hari ini.

Yang Berhormat Dato menambah, negara masih dapat mencapai matlamat yang disarankan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu pencapaian tahunan jumlah penderma darah dalam lingkungan 1 hingga 3 peratus daripada jumlah keramaian penduduk bagi memenuhi keperluan negara dalam menangani situasi kecemasan.

Pencapaian peratus di Negara Brunei Darussalam pada 2019 ialah sebanyak 3.55 peratus dan perangkaan ini adalah konsisten dengan pencapaian dari 2014.

Dengan yang demikian, ujar beliau, Kementerian Kesihatan menyeru supaya para penderma darah dan orang ramai yang berpotensi untuk mendermakan darah agar tampil ke Pusat Pendermaan Darah bagi menjalankan aktiviti berkebajikan ini.

Di samping itu, agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga diseru untuk sama-sama mengelolakan kempen-kempen pendermaan darah demi membantu meningkatkan stok bekalan darah di negara ini.

Dalam kesempatan ini, beliau dan seluruh warga Kementerian Kesihatan merakamkan jutaan terima kasih kepada setiap penderma darah di Negara Brunei Darussalam yang telah banyak berjasa meluangkan masa untuk menderma secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbalan demi membantu pesakit-pesakit yang amat memerlukannya.

Beliau juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan serta individu-individu perseorangan yang terlibat dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dan kempen derma darah selama ini.

Tema kempen Hari Penderma Darah Sedunia tahun ini adalah ‘Darah Selamat Menyelamatkan Nyawa’ dan berslogankan ‘Derma Darah dan Jadikan Dunia ini Tempat yang Lebih Sihat’ yang memfokuskan kepada pendermaan darah yang boleh meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan orang lain di dalam sesebuah masyarakat.