Jumlah penduduk menurun 1.3 peratus

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Anggaran jumlah penduduk pertengahan 2020 bagi Negara Brunei Darussalam adalah seramai 453,600 orang berbanding 459,500 orang pada 2019, iaitu penurunan sebanyak 1.3 peratus.

Penurunan itu disebabkan oleh bilangan penduduk sementara yang menurun sebanyak 10.9 peratus dari seramai 94,200 orang pada 2019 kepada 83,900 orang pada 2020 di mana ia berikutan sekatan perjalanan semasa penularan pandemik COVID-19, khususnya bagi kemasukan warganegara asing ke Negara Brunei Darussalam, dengan sebilangan pekerja asing telah keluar meninggalkan negara ini disebabkan tamat kontrak dan sebagainya, tetapi pekerja asing baharu yang dibenarkan untuk masuk ke negara ini adalah dalam bilangan yang terhad dan untuk sektor atau pekerjaan tertentu sahaja.

Walau bagaimanapun, penurunan itu diimbangi peningkatan bilangan rakyat Brunei dan penduduk tetap yang masing-masing telah mencatatkan kenaikan sebanyak 1.3 peratus iaitu peningkatan daripada 331,800 orang pada 2019 kepada 336,000 orang pada 2020 untuk rakyat Brunei dan 0.6 peratus iaitu peningkatan daripada 33,500 orang pada 2019 kepada 33,700 orang pada 2020 untuk penduduk tetap.

Penemuan-penemuan utama bagi anggaran penduduk pertengahan tahun 2020 berkenaan, didedahkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) yang telah mengeluarkan Laporan Anggaran Penduduk Pertengahan Tahun 2020. Laporan tersebut memberikan data mengenai anggaran jumlah penduduk dan ciri-ciri utama demografi penduduk Negara Brunei Darussalam pada pertengahan tahun 2020. Pengiraan anggaran itu adalah berasaskan data Kemas kini Banci Penduduk dan Perumahan (KBPP) 2016 dan mengambil kira komponen utama perubahan penduduk iaitu kelahiran dan kematian bagi kenaikan semula jadi (natural increase) dan penghijrahan bersih (net migration).

Sumber utama data bagi perkara berkenaan adalah dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Penemuan-penemuan lain yang diketengahkan ialah jumlah penduduk pada tahun 2020 terdiri daripada 240,700 orang lelaki iaitu 53.1 peratus dan 212,900 orang perempuan iaitu 46.9 peratus dengan nisbah jantina adalah seramai 113 orang lelaki bagi setiap 100 orang perempuan.

Rakyat Brunei merupakan bahagian terbesar sebanyak 74.1 peratus iaitu 336,000 orang, sementara agihan penduduk tetap dan penduduk sementara adalah masing-masing sebanyak 7.4 peratus iaitu 33,700 orang dan 18.5 peratus iaitu 83,900 orang.

Daerah Brunei dan Muara mempunyai bilangan penduduk tertinggi seramai 316,100 orang iaitu 69.7 peratus daripada jumlah penduduk. Ini diikuti oleh Daerah Belait seramai 74,800 orang iaitu 16.5 peratus, Daerah Tutong 51,500 orang iaitu 11.4 peratus dan Daerah Temburong 11,200 orang iaitu 2.5 peratus.

Sementara itu, mengikut taburan umur, kira-kira 20.4 peratus iaitu 92,500 orang daripada jumlah penduduk adalah berumur di bawah 15 tahun, 73.6 peratus iaitu 333,900 orang adalah penduduk dalam kumpulan umur bekerja 15-64 tahun dan 6.0 peratus iaitu 27,200 orang adalah penduduk yang berumur 65 tahun dan ke atas. Umur penengah (median) pada 2020 adalah 31.3 tahun berbanding 30.6 tahun pada 2019.

Bangsa Melayu merupakan komuniti terbesar di negara ini dengan agihan sebanyak 65.8 peratus iaitu 298,400 orang daripada jumlah penduduk dan Bangsa Cina dan lain-lain bangsa masing-masing merangkumi 10.2 peratus iaitu 46,400 orang dan 24.0 peratus iaitu 108,800 orang daripada jumlah penduduk.