Jumlah pengeluaran bahan makanan China cipta rekod baharu 

BEIJING, 6 DIS – Jumlah pengeluaran bahan makanan China mencatat 682.9 bilion kilogram (kg) pada 2021 yang menyaksikan peningkatan 13.35 bilion km atau dua peratus berbanding tahun lepas.

Jabatan Statistik Negara (NBS) China berkata ia sekali gus memecahkan rekod terdahulu, selain turut berjaya mengekalkan hasil lebih 650 bilion kg selama tujuh tahun berturut-turut.

Difahamkan, daripada jumlah tersebut, pengeluaran pada musim gugur dilaporkan mencecah 508.9 bilion kg, iaitu penambahan sebanyak 9.55 bilion kg, atau 1.9 peratus berbanding pada 2020.

Sementara itu, jumlah pengeluaran bahan makanan musim panas dan padi awal musim masing-masing mencatat sebanyak 145.95 bilion kg dan 28 bilion kg pada tahun ini, menambah 3.1 bilion kg dan 70 juta kg berbanding tahun sebelumnya.

Menurut NBS China, kejayaan tersebut merupakan hasil tanaman seluas 118 juta hektar di seluruh negara pada tahun ini, yang memperlihatkan peningkatan 0.7 peratus atau 863,333 hektar berbanding tahun lalu sehingga secara tidak langsung mewujudkan pertumbuhan untuk dua tahun berturut-turut.

Sementara itu, kapasiti pengeluaran bahan makanan pada 2021  pula adalah sebanyak 5,805 kg bagi setiap hektar, meningkat 72 kg atau 1.2 peratus berbanding 2020. – Bernama