Jumlah pengguna Internet negara meningkat

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Brunei telah menyaksikan peningkatan dalam jumlah pengguna Internet dan media sosial serta sambungan mudah alih pada tahun ini berbanding tahun lepas, menurut Global Digital Overview 2020 oleh We are Social and Hootsuite.

Negara ini mempunyai 413,000 pengguna Internet pada Januari 2020, mencatatkan peningkatan sebanyak 3,040 (+0.7 peratus) antara 2019 dan 2020 sementara itu, penembusan Internet pula 95 peratus pada Januari 2020.

Terdapat 410,000 orang pengguna media sosial di negara ini pada Januari 2020, meningkat sebanyak 4,852 (+1.2 peratus) antara April 2019 dan Januari 2020. Penembusan media sosial di negara ini pula 94 peratus pada Januari 2020 dan pada masa yang sama terdapat 567,000 sambungan Internet.

Jumlah sambungan Internet telah meningkat sebanyak 8,923 (+1.6 peratus) antara Januari 2019 dan Januari 2020. Jumlah sambungan Internet di negara ini pada Januari 2020 adalah setara dengan 130 peratus jumlah keseluruhan penduduk.

Facebook dan Instagram kekal menjadi media sosial paling popular dengan masing-masing mempunyai 310,000 dan 210,000 pengguna. Majoriti pengguna Facebook di negara ini adalah lelaki (56.7 peratus) sementara majoriti pengguna Instagram adalah wanita (53.0 peratus).

Sementara itu, 99.2 peratus menggunakan telefon mudah alih untuk melayari Facebook.
Laman sesawang yang paling banyak dikunjungi, menurut Alexa (dengan purata trafik bulanan), adalah Google, JobCentre Brunei, Aliexpress dan Facebook. Pertanyaan yang paling banyak dicari dalam alat pencarian YouTube sepanjang tahun lalu adalah filem-filem dengan indeks 100 diikuti lagu-lagu (94), karaoke (50) dan kumpulan pop Korea BTS (41).

Sementara itu, pencarian tertinggi tahun lalu adalah Google diikuti dengan Brunei dan terjemah. Di peringkat global, Brunei Darussalam adalah negara keempat yang mempunyai penembusan media sosial tertinggi iaitu 94 peratus dengan jumlah pengguna seramai 410,000 orang, di belakang Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu dengan masing-masing pada 99 peratus.

Dari segi penggunaan media sosial oleh pengguna sah, Brunei adalah yang kedua tertinggi dengan kalangan pengguna media sosial yang berusia 13 tahun ke atas pada 117 peratus (410,000 orang) selepas Kuwait dengan 122 peratus (4,200,000 orang).