Jumlah perdagangan Brunei meningkat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan nilai jumlah perdagangan sebanyak $1,384.6 juta bagi bulan Ogos 2020 iaitu peningkatan sebanyak 26.8 peratus daripada $1,092 juta pada bulan yang sama tahun 2019.

Manakala, bagi perubahan bulan-ke-bulan pula, jumlah perdagangan bagi bulan Ogos 2020 meningkat sebanyak 4.1 peratus berbanding bulan Julai 2020.

Menurut kenyataan daripada Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) hari ini, jumlah eksport menurun sebanyak 9.6 peratus tahun-ke-tahun kepada $620.8 juta berbanding $686.7 juta pada Ogos 2019. Ini adalah disebabkan terutamanya oleh penurunan eksport minyak mentah kepada $137.8 juta (Ogos 2020) daripada $314.4 juta (Ogos 2019) dan juga penurunan gas asli cecair (LNG) kepada $160.6 juta (Ogos 2020) daripada $316.8 juta (Ogos 2019).

Penurunan eksport minyak mentah dan LNG tersebut adalah disebabkan oleh permintaan global yang perlahan dan penurunan harga.

Sementara itu, jumlah isipadu eksport minyak mentah menurun kepada 70.09 ribu tong sehari (Ogos 2020) daripada 115.89 ribu tong sehari (Ogos 2019) sementara penurunan purata harga eksport minyak mentah kepada AS$46.99 setong (Ogos 2020) daripada AS$63.33 setong (Ogos 2019).

Manakala, jumlah isipadu eksport LNG menurun kepada 752,055 MMBtu sehari (Ogos 2020) daripada 877,835 MMBtu sehari (Ogos 2019) sementara penurunan purata harga eksport kepada AS$5.03 per MMBtu (Ogos 2020) daripada AS$8.27 per MMBtu (Ogos 2019). Dari segi komoditi mengikut seksyen pula, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam sebanyak 81.3 peratus diikuti dengan kimia sebanyak 16.4 peratus, jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.2 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (0.4 peratus) dan pelbagai urusniaga (0.3 peratus).

JPES turut menjelaskan, pasaran eksport utama pada bulan Ogos 2020 adalah Singapura (33.3 peratus) diikuti oleh Jepun (17.7 peratus) dan Malaysia (16.6 peratus).
Sementara bagi import, jumlah nilai menunjukkan peningkatan kepada $763.8 juta (Ogos 2020) daripada $405.3 juta (Ogos 2019).

Lima komoditi import utama pada bulan ini adalahbahan api galian (43.8 peratus) diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan (24.4 peratus), kimia (9.1 peratus), makanan (9 peratus), dan barang keluaran kilang (7.3 peratus).

Mengikut kategori penggunaan akhir, import barang perantaraan menyumbang sebanyak 57.5 peratus dari jumlah import diikuti oleh import barang modal (37.1 peratus) dan barang penggunaan (5.4 peratus).

Dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari United Kingdom (18.6 peratus) diikuti oleh Malaysia (14.1 peratus), dan Singapura (13.2 peratus).

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula. Laporan penuh IMTS bagi bulan Ogos 2020 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn.