Jumlah perdagangan menurun

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Negara Brunei Darussalam pada bulan Oktober 2020 telah mencatatkan penurunan dalam nilai jumlah perdagangan sebanyak 1.7 peratus iaitu $1,470 juta daripada $1,495 juta pada bulan yang sama pada tahun 2019.

Manakala, bagi perubahan bulan-ke-bulan, jumlah perdagangan bagi Oktober 2020 meningkat sebanyak 24.2 peratus berbanding dengan bulan September 2020, menurut Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Oktober 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

Perangkaan menunjukkan, jumlah eksport menurun sebanyak 30.1 peratus tahun-ke-tahun kepada $537.9 juta berbanding $769.6 juta pada Oktober 2019. JPES menjelaskan, ini adalah disebabkan oleh penurunan eksport bahan api galian kepada $442.3 juta pada Oktober 2020 daripada $702.2 pada Oktober 2019.

Penurunan eksport minyak mentah dan LNG adalah disebabkan oleh permintaan global yang perlahan dan penurunan harga.

Jumlah isipadu eksport minyak mentah pula menurun kepada 85.77 ribu tong sehari pada Oktober 2020 daripada 141.58 ribu tong sehari pada Oktober 2019. Sementara purata harga eksport minyak mentah menurun kepada AS$39.08 se-tong pada Oktober 2020 daripada AS$64.48 setong Oktober 2019.

Manakala bagi LNG, purata harga eksport menurun kepada AS$5.51 per MMBtu pada Oktober 2020 daripada AS$8.09 per MMBtu pada Oktober 2019, sementara itu, jumlah isipadu eksport LNG pula menurun kepada 745,680 MMBtu sehari (Oktober 2020) daripada 867,462 MMBtu sehari (Oktober 2019).

Jumlah eksport juga disumbangkan oleh eksport domestik produk petroleum dan gas bernilai $127.6 juta. Sementara dari segi komoditi mengikut seksyen, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam sebanyak 82.2 peratus diikuti dengan kimia dengan 16.4 peratus, jentera dan kelengkapan pengangkutan dengan 0.6 peratus, bahan-bahan mentah yang tidak boleh dimakan iaitu 0.3 peratus dan pelbagai barang keluaran kilang sebanyak 0.2 peratus.

Laporan penuh IMTS bagi bulan Oktober 2020 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn.