Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Jumlah perdagangan negara meningkat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Jumlah perdagangan Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan peningkatan sebanyak 7.1 peratus daripada $2,312.2 juta pada Oktober 2021 kepada $2,477.5 juta pada Oktober 2022, yang disumbangkan oleh kenaikan import antara tempoh berkenaan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, berbanding September 2022, jumlah perdagangan menurun sebanyak 3.7 peratus disebabkan penurunan jumlah eksport terutamanya bahan api galian.

    Jumlah eksport menurun sebanyak 2.5 peratus daripada $1,336.3 juta pada Oktober 2021 kepada $1,302.9 juta pada Oktober 2022, terutamanya disebabkan pengurangan eksport bahan api galian iaitu daripada $1,097.2 juta kepada $1,005.7 juta dalam tempoh yang sama.

    Penurunan utama eksport bahan api galian didorong oleh penurunan nilai eksport minyak mentah disebabkan penurunan eksport jumlah isi padu sebanyak 88.6 peratus daripada 85.11kbbl sehari pada Oktober 2021 kepada 9.68kbbl sehari pada Oktober 2022.

    Dari segi komoditi eksport, bahan api galian merupakan penyumbang utama eksport Negara Brunei Darussalam iaitu 77.2 peratus, diikuti bahan kimia 20.2 peratus dan jentera dan kelengkapan pengangkutan 1.1 peratus.

    Pasaran eksport utama pada Oktober 2022 adalah Republik Rakyat China dengan 25.7 peratus, diikuti oleh Australia dengan 18.4 peratus dan Jepun 17.6 peratus. Komoditi eksport terbesar ke Republik Rakyat China adalah bahan kimia manakala Australia dan Jepun adalah bahan api galian.

    Jumlah nilai import meningkat daripada $975.9 juta pada Oktober 2021 kepada $1,174.6 juta pada Oktober 2022 terutamanya disebabkan peningkatan import bahan api galian khususnya minyak mentah sebagai input pengeluaran bagi industri petrokimia hiliran.

    Lima komoditi import utama pada Oktober 2022 adalah bahan api galian dengan 74.3 peratus diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 7.7 peratus, makanan 5.9 peratus, barang-barang keluaran kilang 4.3 peratus serta bahan kimia 3.8 peratus.

    Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Emiriah Arab Bersatu dengan 37.0 peratus, diikuti oleh Malaysia dengan 23.8 peratus dan Qatar 12.3 peratus di mana komoditi import terbesar adalah bahan api galian.

    Kebanyakan import negara iaitu sebanyak 59.8 peratus adalah digunakan sebagai barangan perantaraan bagi pemprosesan diikuti oleh barangan modal iaitu 37.5 peratus bagi operasi perniagaan dan barangan penggunaan iaitu 2.7 peratus bagi kegunaan isi rumah.

    Pengangkutan melalui laut menyumbangkan bahagian tertinggi bagi kedua-kedua eksport dan import berjumlah $2,384.8 juta atau 96.3 peratus dan ia diikuti oleh pengangkutan udara berjumlah $60.6 juta atau 2.4 peratus dan melalui darat berjumlah $32.1 juta atau 1.3 peratus. Laporan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Oktober 2022 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...