Jumlah perdagangan negara meningkat 42.1 peratus

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan nilai perdagangan berjumlah $1,850.9 juta pada Mei 2021, peningkatan sebanyak 42.1 peratus daripada $1,302.8 juta pada bulan yang sama 2020.

Manakala itu, bagi perubahan bulan-ke-bulan pula, jumlah perdagangan bagi bulan Mei 2021 menurun sebanyak 15.6 peratus berbanding dengan bulan April 2021, menurut Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), di sini, hari ini. Kenyataan menjelaskan, jumlah eksport meningkat sebanyak 30.3 peratus tahun-ke-tahun kepada $1,127.7 juta berbanding $865.2 juta pada Mei 2020.

Ini disebabkan peningkatan eksport bahan api galian kepada $822.1 juta (Mei 2021) daripada $613.2 juta (Mei 2020), dan juga eksport jentera dan kelengkapan pengangkutan kepada $71.5 juta (Mei 2021) daripada $1.6 juta (Mei 2020). Peningkatan eksport bahan api galian terutamanya didorong oleh peningkatan eksport minyak mentah, eksport gas asli cecair (LNG) dan eksport produk petroleum daripada aktiviti hiliran.

Peningkatan eksport minyak mentah juga disebabkan peningkatan harga purata kepada AS$69.96 setong (Mei 2021) daripada AS$28.46 setong (Mei 2020).

Ini juga bagi eksport LNG yang turut meningkat disebabkan peningkatan harga purata kepada AS$8.01 per MMBtu (Mei 2021) daripada AS$5.82 per MMBtu (Mei 2020). Sementara itu, jumlah isi padu bagi kedua-dua eksport minyak mentah dan LNG telah mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan itu lagi, dari segi komoditi mengikut seksyen, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam sebanyak 72.9 peratus diikuti dengan kimia (19.7 peratus) dan jentera dan kelengkapan pengangkutan (6.3 peratus).

Pasaran eksport utama pada Mei 2021 adalah Republik Rakyat China (25.8 peratus) diikuti oleh Singapura (18.3 peratus) dan Jepun (17.3 peratus).

Bagi import pula, jumlah nilai menunjukkan peningkatan kepada $723.2 juta (Mei 2021) daripada $437.6 juta (Mei 2020) yang disebabkan peningkatan import bahan api galian yang sebahagian besarnya digunakan sebagai input bagi penghasilan produk petrokimia.

Selain itu, peningkatan import juga antara lainnya disebabkan peningkatan import bahan galian yang tidak boleh dimakan dan makanan. Sementara itu, lima komoditi import utama pada bulan ini adalah bahan api galian (46.5 peratus) diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan (19.9 peratus), makanan (9.6 peratus), barang barang keluaran kilang (7.8 peratus) dan bahan galian yang tidak boleh dimakan (6.8 peratus).

Kategori penggunaan akhir, import barang perantaraan menyumbang sebanyak 57.9 peratus daripada jumlah import diikuti oleh import barang modal sebanyak 36.6 peratus dan barang penggunaan 5.5 peratus. Manakala itu, dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Republik Rakyat China sebanyak 24.1 peratus diikuti oleh Malaysia sebanyak 18.7 peratus dan Norway sebanyak 13.7 peratus. Komoditi import terbesar dari Republik Rakyat China adalah jentera dan kelengkapan pengangkutan, bahan galian yang tidak boleh dimakan dan bahan api galian manakala komoditi import dari Malaysia dan Norway kebanyakannya adalah bahan api galian.

Mengikut mod pengangkutan, pada Mei 2021, peratus yang tertinggi adalah mod pengangkutan laut berjumlah $1,720.4 juta (92.9 peratus), ini diikuti oleh pengangkutan udara ($109.1 juta atau 5.9 peratus) dan melalui darat ($21.5 juta atau 1.2 peratus).

IMTS bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan General System bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Laporan penuh IMTS bagi Mei 2021 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn.