Jumlah perdagangan negara meningkat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Negara Brunei Darussalam mencatatkan peningkatan sebanyak 25.7 peratus iaitu $1,805.6 juta jumlah perdagangan pada bulan Januari 2020, berbanding $1,436.7 juta pada bulan sama 2019.

Peningkatan mengambil kira produk eksport petroleum dan gas hasil daripada kegiatan hiliran, namun jumlah pada Januari itu menurun sebanyak 29.8 peratus berbanding bulan Disember 2019.

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menambah bahawa jumlah eksport meningkat sebanyak 25.6 peratus tahun-ke-tahun kepada $1,196.8 juta berbanding $952.6 juta pada Januari 2019.

Manakala peningkatan dari segi komoditi eksport bahan api galian menyumbang sebanyak 23.2 peratus tahun-ke-tahun melalui eksport produk petroleum dan gas yang mana komoditi terbesar ialah minyak diesel automatif hasil kegiatan hiliran.

Sementara pasaran eksport terbesar pada bulan Januari tahun ini adalah Jepun sebanyak 27.2 peratus diikuti Singapura sebanyak 17.5 peratus dan Republik Rakyat China sebanyak 12.8 peratus.

Dari segi komoditi eksport pula, bahan api galian merupakan penyumbang utama sebanyak 87.5 peratus diikuti dengan kimia 11.6 peratus dan barang-barang keluaran kilang 0.5 peratus.

Jumlah import juga meningkat sebanyak 25.8 peratus tahun-ke-tahun kepada $608.8 juta dan lima komoditi import utama pada bulan ini ialah bahan api galian sebanyak 36.7 peratus diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 22.0 peratus, barang-barang keluaran kilang 18.7 peratus, makanan 7.8 peratus dan kimia sebanyak 7.5 peratus.

Sementara, kategori penggunaan akhir, import barang perantaraan merangkumi 65.2 peratus daripada jumlah import diikuti oleh import barang modal sebanyak 27.9 peratus dan barang penggunaan pula sebanyak 6.9 peratus.

Dari segi import pula, berdasarkan rakan dagangan, sumber terbesar ialah Republik Rakyat China sebanyak 20.4 peratus diikuti oleh Singapura sebanyak 14.7 peratus dan Malaysia sebanyak 12.3 peratus.

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan General System bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Laporan penuh IMTS bagi bulan Januari 2020 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn.