Jumlah perdagangan ogos meningkat 60.9 peratus

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Jumlah perdagangan Negara Brunei Darussalam untuk Ogos 2021 meningkat sebanyak 60.9 peratus kepada $2,227.4 juta berbanding $1,384.6 pada Ogos 2020.

Manakala itu, bagi perubahan bulan-ke-bulan, jumlah perdagangan bagi Ogos 2021 menurun sebanyak 11.1 peratus berbanding Julai 2021, menurut Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) Ogos 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, hari ini.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa jumlah eksport meningkat sebanyak 135.7 peratus tahun-ke-tahun kepada $1,463.5 juta berbanding $620.8 juta pada Ogos 2020 yang mana ia disebabkan peningkatan eksport bahan api galian kepada $1,153.3 juta pada Ogos 2021 daripada $505 juta pada Ogos 2020 dan juga eksport kimia kepada $290.3 juta pada Ogos 2021 daripada $102.1 juta pada Ogos 2020.

Peningkatan eksport bahan api galian terutamanya didorong oleh peningkatan dalam nilai eksport minyak mentah, eksport gas asli cecair (LNG) dan eksport produk petroleum daripada aktiviti hiliran.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa peningkatan eksport minyak mentah adalah disebabkan peningkatan harga purata kepada AS$72.79 setong pada Ogos 2021 daripada AS$46.99 setong pada Ogos 2020 dan juga peningkatan jumlah isi padu kepada 77.02 ribu tong sehari pada Ogos 2021 daripada 70.09 ribu tong sehari pada Ogos 2020.

Begitu juga bagi eksport LNG, yang mana peningkatannya adalah disebabkan oleh peningkatan harga purata kepada AS$9.92 per MMBtu pada Ogos 2021 daripada AS$5.03 per MMBtu pada Ogos 2020 dan juga peningkatan jumlah isi padu kepada 906,328 MMBtu sehari pada Ogos 2021 daripada 752,055 MMBtu sehari pada Ogos 2020. Manakala itu, nilai eksport produk petroleum daripada aktiviti hiliran meningkat kepada $540.6 juta daripada $206.5 juta.

Kenyataan menyatakan bahawa dari segi komoditi mengikut seksyen, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam iaitu 78.8 peratus, diikuti dengan kimia iaitu 19.8 peratus dan jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 0.5 peratus.

Pasaran eksport utama pada Ogos 2021 adalah Jepun iaitu 25.1 peratus, diikuti oleh Republik Rakyat China iaitu 19.6 peratus dan Singapura iaitu 18.8 peratus. Komoditi eksport terbesar ke Jepun dan Singapura adalah bahan api galian, manakala, eksport ke Republik Rakyat China adalah kimia.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa bagi import pula, jumlah nilai menunjukkan peningkatan kepada $763.9 juta pada Ogos 2021 daripada $763.8 juta pada Ogos 2020 terutamanya disebabkan peningkatan import bahan api galian yang sebahagian besarnya digunakan sebagai input bagi penghasilan produk petrokimia.

Lima komoditi import utama pada bulan berkenaan ialah bahan api galian sebanyak 64.5 peratus diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 13.6 peratus, makanan sebanyak 6.6 peratus, kimia sebanyak 5.4 peratus dan barang-barang keluaran kilang sebanyak 5.1 peratus.

Sementara itu, mengikut mod pengangkutan, pada Ogos 2021, peratus yang tertinggi adalah mod pengangkutan laut berjumlah $2,139.2 juta iaitu 96 peratus dan diikuti oleh pengangkutan udara sebanyak $62.2 juta atau 2.8 peratus serta melalui darat sebanyak $25.9 juta atau 1.2 peratus.

Kenyataan seterusnya menerangkan bahawa IMTS bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan General System bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula. Laporan penuh IMTS bagi Ogos 2021 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn.