Jumlah perokok di seluruh dunia berkurangan

GENEVA, 16 NOV – Jumlah perokok di seluruh dunia menurun secara berterusan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini, menggesa negara-negara untuk terus meningkatkan langkah pengawalan bagi menghentikan ketagihan tembakau.

Pada 2020, dianggarkan 1.3 bilion menggunakan tembakau di seluruh dunia, menurun dari 1.32 bilion dua tahun sebelumnya, menurut laporan terbaharu WHO.

Angka tersebut, menurut laporan, dijangka akan berkurang kepada 1.27 bilion menjelang 2025, menunjukkan penurunan kira-kira 50 juta pengguna tembakau dalam tempoh tujuh
tahun, meskipun penduduk dunia meningkat.

Laporan menunjukkan hampir satu pertiga penduduk dunia berusia 15 tahun ke atas menggunakan produk tembakau pada tahun 2000, hanya satu perlima dijangka akan melakukannya menjelang 2025.

“Ia adalah sangat menggalakkan untuk melihat penurunan pengguna tembakau setiap tahun,” menurut ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam kenyataan.

“Namun ia masih perjalanan yang panjang dan syarikat tembakau akan terus menggunakan setiap helah untuk mendapatkan keuntungan hasil penjualan tembakau.”

Penggunaan tembakau dianggarkan membunuh lapan juta orang setiap tahun, kebanyakannya disebabkan penggunaan secara langsung tembakau, sementara 1.2 juta adalah perokok pasif yang terdedah kepada asap rokok, menurut angka WHO.

Laporan memberi amaran bahawa angka tahunan kematian akan terus melonjak untuk beberapa waktu meskipun penggunaan tembakau menurun “kerana tembakau membunuh pengguna dan orang yang terdedah kepada asap secara perlahan.”

Laporan turut memuji 60 buah negara yang berada dalam landasan untuk mengurangkan penggunaan tembakau kepada 30 peratus antara 2010 dan 2025.

Semasa laporan terakhir diterbitkan WHO mengenai trend tembakau global dua tahun lalu, hanya 32 buah negara yang berada dalam landasan untuk melakukannya. – AFP