Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Jumlah pesakit buah pinggang peringkat akhir meningkat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Pada 2020, Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan seramai 881 pesakit yang menghidapi penyakit buah pinggang di peringkat akhir dan 217 daripada jumlah itu adalah kes baharu.

    Ia adalah peningkatan sebanyak 12.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala jumlah pesakit yang meninggal dunia pada tahun itu ialah 138 orang.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Perutusan Sempena Hari Buah Pinggang Sedunia.

    Beliau turut mendedahkan bahawa punca utama penyakit buah pinggang di Negara Brunei Darussalam adalah penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.

    “Kita perlu terus memahami bahawa apabila buah pinggang gagal berfungsi dengan baik, pesakit hanya mempunyai dua pilihan sahaja iaitu sama ada menjalani rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang. Jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada kematian.”

    Terdahulu dalam perutusan itu, beliau menyatakan setiap tahun, pada hari Khamis, minggu kedua bulan Mac, seluruh dunia termasuk Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Buah Pinggang Sedunia.

    Sambutan itu, jelasnya, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang dan bagaimana cara untuk mengurangkan kesan daripada penyakit buah pinggang serta masalah kesihatan yang berkaitan dengan penyakit berkenaan.

    Penyakit buah pinggang dikategorikan sebagai penyakit yang tidak berjangkit dan kajian yang diungkayahkan oleh Persatuan Diabetis Amerika Syarikat (AS) menunjukkan sebanyak 850 juta orang di seluruh dunia menghidap penyakit buah pinggang.

    “Malah, penyakit ini merupakan antara sebab utama yang membawa kepada kematian pesakit di seluruh dunia dan diunjurkan menjadi penyebab utama kematian kelima menjelang 2040.”

    Yang Berhormat Dato dalam perutusannya lagi menyatakan, menurut kenyataan Jawatankuasa Antarabangsa Hari Buah Pinggang Sedunia 2020 pula, selaras dengan Pertubuhan Nefrologi Antarabangsa, secara global, satu dalam 10 orang di seluruh dunia mengalami penyakit buah pinggang yang kronik dan pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

    “Perkara ini akan menjadi beban kepada sistem penjagaan kesihatan kerana pesakit memerlukan penjaga-an sepanjang hayat.”

    Yang Berhormat Dato dalam perutusannya lagi menyatakan tema sam-butan Hari Buah Pinggang Sedunia pada 2022 adalah ‘Merapatkan Jurang Pengetahuan ke arah Penjagaan Buah Pinggang yang Lebih Baik’ yang memberikan gambaran bahawa ramai di kalangan masyarakat mempunyai kesedaran asas yang rendah, literasi kesihatan yang terhad dan kekurangan kesediaan untuk mengetahui mengenai penyakit buah pinggang kronik.
    Jurang pengetahuan yang berterusan ini menyekat perjuangan menentang penyakit buah pinggang, justeru meningkatkan kejadian kematian di kalangan pesakit.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...