Jumlah pesakit sembuh, melebihi kes positif baharu

PUTRAJAYA, 9 APRIL – Jumlah pesakit  yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad hari ini ialah 121 orang, sekali lagi melebihi jumlah kes positif baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 109 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,228 kes.

“Jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan discaj dari wad ialah 1,608 iaitu sebanyak 38.03 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.

Semalam, situasi COVID-19 di negara ini turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad seramai 166 orang, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu 156 kes. – Bernama