Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Jumlah punggahan kontena Northport cecah rekod tertinggi

    KUALA LUMPUR, 30 DIS – Northport (Malaysia) Bhd mencecah jumlah kontena terbanyak sepanjang masa tahun ini dengan kendalian 20.7 peratus lebih tinggi berbanding 2020, walaupun berhadapan dengan ‘dua keadaan badai sempurna.’

    Ia mencecah rekod selepas kontena ke-3,305,765 dipunggah dari kapal Interasia Horizon, melepasi pencapaian sebanyak 3,305,764 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) yang dicipta pada 2010.

    “Walaupun berhadapan dengan dua keadaan badai sempurna iaitu pandemik COVID-19 pada sepanjang tahun dan banjir kilat yang belum pernah dialami sebelum ini yang telah menjejaskan operasi, Northport yang berada di bawah Kumpulan MMC, telah melabuhkan tirai 2021 dengan cemerlang melalui prestasi yang memecah rekod,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata Northport telah memulakan program ‘Reinventing Northport’ sejak pengambilalihan Northport oleh MMC Corporation Bhd pada 2016, yang termasuk strategi fokus semula ke arah menjadi pintu masuk tempatan dan hab intra-Asia, mengoptimumkan kos operasi, menggantikan peralatan lapuk, meningkatkan kemudahan serta perkhidmatan dan produktiviti.

    “Usaha-usaha ini telah membuahkan hasil dengan prestasi pecah rekod untuk pengendalian kontena bulanan tertinggi setelah syarikat merekodkan 310,865 TEU pada Disember tahun lepas. Kami telah mencatatkan peningkatan yang stabil sehinggalah pandemik menjejaskan momentum prestasi kami,” kata beliau lagi.

    Katanya, cabaran utama untuk operasi Northport datang pada awal tahun ini apabila ia mengalami kesesakan teruk di lapangan kontenanya disebabkan oleh bilangan persinggahan kapal yang tinggi, yang mana pemunggahan kontena dari kapal adalah melebihi daripada operasi pemuatan.

    “Northport telah menerima lebih daripada 250 pembatalan singgahan kapal pada 2021 apabila syarikat-syarikat perkapalan menyelaraskan semula jadual mereka dan membatalkan persinggahan ke pelabuhan,” katanya.

    Pelabuhan-pelabuhan dan pemain-pemain industri logistik telah bersatu dan melaksanakan peranan masing-masing, dibantu oleh agensi kerajaan, dan diketuai oleh Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK), bagi memberi titik keseimbangan untuk operasi di Pelabuhan Klang, katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...