Wednesday, March 26, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah tunggakan tuntutan cukai GST RM19.4 billion

    KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Jumlah kekurangan dana dalam Tabung Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah lebih besar daripada apa yang dilaporkan sebelum ini, iaitu RM19.248 bilion berbanding RM17.911 bilion, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

    Sebelum ini, beliau melaporkan bahawa, kerajaan terdahulu gagal membayar tuntutan cukai input dalam masa dua minggu.

    “Rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang disahkan menunjukkan bahawa, jumlah tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST lebih daripada dua minggu adalah sebanyak RM19.4 bilion setakat 31 Mei 2018.

    “Daripada jumlah tunggakan RM19.4 bilion ini, sebanyak RM9.2 bilion adalah dari 2018, RM6.8 bilion dari 2017, RM2.8 bilion dari 2016 and RM0.6 bilion dari tahun 2015,” kata Lim dalam teks ucapannya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Lim berkata, tunggakan bayaran balik adalah disebabkan kelemahan aliran tunai Kerajaan Persekutuan akibat kekurangan disiplin fiskal, pembaziran yang berleluasa dan pertambahan hutang yang besar.

    “Sebenarnya, apa dilakukan oleh pentadbiran lama adalah pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik cukai untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit supaya mereka dapat menunjukkan keadaan lebihan,” katanya.

    Pada 9 Ogos lalu, Lim turut menyebut bahawa, baki yang sedia ada dalam Tabung Bayaran Balik GST, iaitu sebuah akaun amanah, adalah sekitar RM1.486 bilion sahaja. Oleh itu, secara bersih, jumlah kekurangan dana dalam Tabung Bayaran Balik GST ialah RM17.911 bilion setakat 31 Mei 2018. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda