Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    ‘Jumpa kemanisan dalam lokap’

    “Kalau bukan orang Islam, saya sudah lama gila atau ambil tindakan luar kewarasan fikiran. Minta maaf cakap,” begitulah luahan pelakon Niezam Zaidi selepas terpalit dengan kontroversi dadah.

    Pun begitu, ujian dilaluinya diibaratkan ubat membuatkannya pulang ke kampung halaman di Ipoh, Perak untuk menabur bakti kepada orang tuanya.

    “Banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya, tetapi bersyukur pada Allah. Ia mungkin kenangan pahit buat orang lain, tetapi manis buat saya.

    “Ini kerana pahit ditelan dan boleh dijadikan ubat. Jadi, saya mengakui masalah mental ini betul.

    “Kenapa saya cakap betul kerana mungkin seseorang muat naik gambar kelihatan okay, namun, sebaliknya kita tak tahu.

    Niezam menjelaskan dia kini lebih selesa mendekatkan diri dengan keluarga dan agama. – Agensi

    “Ditambah pula, komen warganet. Mungkin komen tidak setajam pisau, tetapi komen yang tidak membina boleh mengganggu dan mencederakan mental saya.

    “Saya terpaksa hidup dengan situasi ini. Walaupun mental saya tak kuat, Alhamdulillah, Allah bagi kekuatan,” katanya kepada media.

    Tambah Niezam, keluarga menjadi tempatnya mengadu nasib dan mengumpul semula kekuatan diri yang hampir musnah. Kata Niezam, dia kini lebih selesa mendekatkan diri dengan keluarga dan agama.

    “Itulah menjadi salah satu sebab saya berhijrah pulang ke kampung. Saya letakkan jurang dalam diri dari apa yang mengingatkan saya mengenai titik hitam dalam hidup.

    “Jadi, saya dekat diri dengan keluarga dan agama di kampung. Sebab apa-apa keluarga tetap utama.

    “Emak mempunyai penyakit tiga serangkai, manakala papa semakin berusia. Saya akan buat selagi boleh berjasa pada orang tua.

    “Apa yang berlaku mematangkan dan buat saya banyak belajar. Bayangkan, saya dapat merasakan kemanisan beribadah dalam lokap. Jadi tak mengapa 1,000 orang mengecam saya, tetapi masih ada 10 orang sayangkan saya,” katanya.

    Niezam ditemui pada majlis pratonton filem terbaharu, Kan Cheong, baru-baru ini. Filem psiko thriller terbitan Thinkerbell Studios Sdn Bhd arahan Noor Azlan Shah itu mengangkat tema kesihatan mental.

    Berkongsi lanjut, Niezam berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu dikenali dengan kontroversi, sebaliknya mahu kerjaya dan prestasi lakonan yang cemerlang.

    Walaupun dimaklumkan stesen televisyen namanya tidak disenarai hitamkan, Niezam berkata, dia tetap mempunyai kesukaran untuk bangkit semula.

    “Apa yang terjadi dalam hidup adalah kisah peribadi, tetapi secara tak langsung memberi kesan pada kerjaya.” – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...