Jumpa terus untuk vaksinasi di semua PPV Sarawak

KUCHING, 21 JULAI – Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Sarawak (CITF Sarawak) membenarkan semua pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini memberikan vaksin COVID-19 secara ‘walk-in’ atau jumpa terus kepada yang belum menerima janji temu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini berkata mereka yang belum menerima temu janji vaksinasi dos pertama juga disarankan menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) masing-masing bermula 23 Julai sehingga 5 Ogos.

Hari ini Sarawak merekodkan 261 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 72,213 kes dan satu kematian baharu direkodkan menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 450 orang.

Tiga kluster baharu turut diisytiharkan iaitu Kluster Jalan Demak Laut di daerah Kuching yang melibatkan 29 kes positif, Kluster Balai Ringin Melayu di Serian (48 kes positif) dan Kluster Sungai Sebatu di Meradong (99 kes positif). –Bernama

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak (tengah) membantu seorang penerima vaksin yang menggunakan kerusi roda di pusat pemberian vaksin (PPV) Siburan baru-baru ini. Semua PPV di Sarawak kini boleh dikunjungi untuk vaksinasi jumpa terus atau ‘Walk-in.’ – Bernama