Jumpa wakil JDT sebelum buat tawaran

KUALA LUMPUR, 18 JUN – Mana-mana kelab dari luar negara yang berminat mendapatkan khidmat pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu berjumpa dengan wakil kelab berkenaan sebelum mengambil langkah seterusnya.

Pengarah Teknikal JDT Alistair Edwards berkata pihak pengurusan kelab telah melantik beliau dan Pengarah Sukan pasukan Martin Prest sebagai wakil JDT bagi tujuan berkenaan.

“Mereka akan menghubungi JDT. Jika tiada sebarang komunikasi tetapi mereka adalah ejen tempatan menyatakan hasrat daripada kelab luar, ia ada dua kemungkinan. Sama ada ia adalah rekaan atau ejen itu hendak buat duit. Jika betul-betul berminat, kelab atau ejen bola sepak antarabangsa yang diupah akan menghubungi kami,” katanya dalam entri terkini di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Edwards yang juga bekas pemain mendedahkan bahawa JDT adalah antara pasukan di
Malaysia yang berjaya menjual pemain importnya kepada kelab luar, antaranya penyerang kelahiran Argentina Juan Martin Lucero, kepada kelab Mexico, Tijuana dengan bayaran AS$2.5 juta (RM10.689 juta) pada 2017.

Edwards mengulas mengenai laporan mengatakan beberapa kelab luar negara berminat untuk mendapatkan khidmat pemain JDT seperti Muhammad Safawi Rasid dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid. – Bernama