Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    ‘Jungle trekking’ mengenali suku temuan di serendah

    Oleh Soon Li Wei

    KUALA LUMPUR – Secara peribadi, tanggal 18 Mac lepas merupakan hari yang memberikan kenangan tersendiri kepada penulis, kerana buat pertama kali penulis menjejakkan kaki di sebuah perkampungan Orang Asli.

    Terpengaruh dengan stereotaip, sejujurnya penulis terperanjat melihat Kampung Orang Asli Serendah di Hulu Selangor, Selangor itu yang dihuni oleh kira-kira 300 penduduk Orang Asli suku Temuan.

    Bukan rumah kayu daif seperti yang dibayangkan oleh penulis, sebaliknya kediaman moden daripada konkrit yang dilengkapi elektrik dan bekalan air paip, selain kebanyakan rumah juga mempunyai piring satelit untuk siaran televisyen.  

    Nyata kerajaan tidak meminggirkan kaum Orang Asli daripada arus pemodenan.

    Namun, di sebalik kehidupan yang agak moden itu, komuniti tersebut masih mengekalkan cara hidup tradisional mereka termasuk memanfaatkan hasil hutan di perkampungan mereka dalam kehidupan sehari-hari selain sebagai sumber pendapatan.

    Pemandu pelancong Kampung Orang Asli Serendah, Elok Sapa, 68, menunjukkan pokok bertam yang digunakan untuk membuat atap rumah. – Bernama
    Perjalanan semasa di dalam hutan terpaksa menelusuri beberapa cerun yang agak curam dan licin akibat hujan lebat sehari sebelumnya. – Agensi

     ‘Jungle trekking’ 

    Mengimbas perjalanan pada hari berkenaan, penulis yang diselubungi ‘kelesuan COVID’, begitu teruja apabila dipelawa penganjur bengkel kewartawanan alam sekitar, Internews yang juga sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan, menyertai program hiking dengan Orang Asli di Serendah, bersama-sama 15 lagi pengamal media. 

    Awal pagi kami berkumpul di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor sebelum menempuh perjalanan selama kira-kira sejam pemanduan ke kampung berkenaan yang sebenarnya terletak tidak jauh di pinggir ibu kota Kuala Lumpur.

    Ketibaan kami di kampung itu disambut oleh wakil penduduk yang turut berperanan sebagai pemandu kembara kami,  Elok Sapa, 68, serta dua penyelaras daripada badan bukan kerajaan (NGO) Native, iaitu Emily Wong dan Colin Ray.

    Native merupakan NGO berkaitan Orang Asli yang bertanggungjawab menganjurkan program kembara denai itu dalam usaha memberi peluang kepada masyarakat luar mengenali Orang Asli dengan lebih dekat, selain menjana pendapatan sampingan bagi komuniti tersebut melalui kegiatan ekopelancongan. 

    “Kami menghabiskan masa lima minggu untuk membuka denai trekking yang bakal kalian tempuhi nanti,” kata Wong semasa menyampaikan taklimat keselamatan sebelum kembara bermula.

    Kesegaran udara dan kehijauan rimba yang mengelilingi perkampungan itu bagaikan memberi tenaga baharu kepada penulis, menyebabkan timbul rasa tidak sabar untuk memulakan kembara meredah hutan tersebut.

    “Moh kitak jalan!” ungkap Elok yang mahu kami memanggilnya Pak cik Elok selepas taklimat ringkas itu selesai, bermaksud “ayuh kita bergerak.”

    Bunyi deruan air Sungai Serendah serta kicauan unggas mengiringi kembara kami yang bermula dengan merentasi kebun getah. Semakin jauh perjalanan, tanaman getah kini berganti dengan pepohon hutan. Sesekali kedengaran bunyi ‘klik’ kamera telefon, merakam apa sahaja yang menarik perhatian peserta kembara. 

     Timba ilmu

    Bagi penulis yang sudah sekian lama tidak meredah hutan, perjalanan itu agak mencabar dan menguji ketahanan fizikal. Ditambah pula dengan nyamuk yang ‘menyerang’ kami dari segenap arah, menyebabkan kami terpaksa menyembur badan dengan aerosol penghalau nyamuk. 

    Berbanding kami yang rata-rata sudah mula tercungap-cungap keletihan, Pak cik Elok kekal tangkas mengatur langkah sambil tangannya pantas melibas parang kecil menebas belukar yang menghalang laluan.

    Perjalanan kami terhenti seketika apabila hidung kami disengat bau tengik seakan petai.

    “Ini bau buah kerdas. Kami jadikannya ulam, sedap dimakan dengan sambal. Namun tidak boleh dimakan terlalu banyak, takut nanti susah pula hendak kencing,” jelas Pak cik Elok sambil meraih dahan pokok kerdas dan memetik buah yang seakan kekacang itu.

    Di atas tanah, kelihatan buah kerdas yang sudah terkupas – sekali imbas seperti buah berangan – bertaburan, iaitu sumber aroma tengik yang kami bau.  Buah kerdas yang dipetik dikupas dan dihulurkan kepada kami.

    “Sedap, rasa macam bawang putih tapi lepas mengunyah lama baru ada rasa macam petai,” kata Nadiah Rosli, 37, seorang peserta dalam rombongan kami.

    Perjalanan kami diteruskan dengan menelusur beberapa cerun yang agak curam dan licin akibat hujan lebat sehari sebelumnya.

    Sekali sekala kedengaran ungkapan ‘aduh’ peserta yang terjatuh dek kelicinan denai. Selut yang memenuhi laluan juga memperlahankan langkah kami.

     Pantang larang

    Kami kemudian tiba di satu kawasan yang agak lapang dan di situ kelihatan tindanan anyaman daun seperti atap nipah yang biasa penulis lihat dalam dokumentari. Pak cik Elok kemudian duduk dan mula menganyam daun tersebut. 

    “Satu daripada bahan binaan rumah kami adalah daun pokok bertam ini yang digunakan sebagai atap. Daunnya kalis air,” jelasnya, menambah sebelum dianyam, daun bertam tersebut perlu diasapkan bagi melembutkan struktur daun.  

    “Selalunya, atap bertam ini dapat bertahan selama tiga hingga enam bulan. Selain itu, batang bertam boleh dijadikan joran untuk memancing ikan,” kata Pak cik Elok, menambah pokok bertam adalah tumbuhan berduri, justeru perlu berhati-hati ketika menebang pokok berkenaan. Perjalanan kemudian diteruskan.

    Selepas hampir dua jam kami meneroka denai hutan itu, kami tiba di sebuah pondok yang diperbuat daripada buluh dan kayu serta beratapkan daun bertam milik Pak cik Elok. 

    Sambil berehat di pondok itu Pak cik Elok berkongsi tentang pantang larang ketika di dalam hutan yang baginya perlu diketahui dan diberi perhatian oleh setiap pengunjung.

    “Bagi kami masyarakat Orang Asli, setiap objek dalam hutan mempunyai semangat tertentu yang mempengaruhi kehidupan. Sebagai contoh, kami percaya setiap hutan ada pemiliknya dan jika memasuki kawasannya, kena minta izin dahulu dan mematuhi peraturannya.

    “…tidak boleh celopar, berteriak tidak tentu pasal atau ketawa berlebihan.

    “Jangan menyahut sembarangan, bergurau ataupun memetik sembarangan bunga-bunga yang ada dalam hutan kerana dikhuatiri ada ketikanya boleh menyebabkan seseorang tidak menemui jalan pulang ataupun disampuk (dirasuk),” katanya.

    Kehidupan orang asli

    Hampir tiga jam kembara, kami akhirnya tiba di ‘garis penamat’ dan meneruskan perjalanan ke sebuah kawasan lapang berdekatan air terjun untuk menikmati makanan tengah hari yang disediakan oleh masyarakat Temuan.

    Kembara yang berbaloi walaupun agak meletihkan kerana selain mendekati alam semula jadi, penulis turut berpeluang mengenali sedikit-sebanyak cara hidup suku Temuan.

    “Kebanyakan Orang Asli di sini mengamalkan gaya hidup moden, menghuni rumah batu yang dilengkapi kemudahan asas seperti air dan elektrik dengan sesetengahnya pula bekerja kilang serta mampu memiliki kereta.

    “Sememangnya masyarakat Orang Asli pada masa sekarang sangat moden berbanding dahulu kerana kerajaan banyak membantu mereka dari segi pendidikan, peluang pekerjaan, pertanian dan perhutanan,” kata Ray yang mempelawa masyarakat luar menyertai kegiatan tersebut.

    Jangan lupa asal usul

    Bagi Pak cik Elok dan isterinya Bidah Anak Datang, 67, di sebalik aspek pemodenan yang diterapkan dalam komunitinya, mereka masih menitikberatkan soal jati diri dan budaya agar tidak luput  ditelan zaman.

    “Kami sangat bersyukur kerana pelbagai pihak terutamanya kerajaan, sangat prihatin terhadap nasib Orang Asli dan memastikan kami tidak jauh ketinggalan meskipun ada antara kami yang masih tinggal di dalam hutan.

    “Saya selalu berpesan kepada anak-anak dan generasi muda di kampung ini, sejauh mana pun kita pergi jangan lupa akan asal usul, dan sekiranya sudah berjaya sekalipun, kembalilah untuk berbakti kepada komuniti,” kata Bidah.

    Memetik laporan Bernama pada 20 Nov lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berpaksikan falsafah Keluarga Malaysia, kerajaan sentiasa menekankan pembelaan terhadap masyarakat Orang Asli di seluruh negara

    Keluarga Malaysia antaranya turut mengamalkan prinsip ‘tiada golongan yang dipinggirkan’, bagai berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, yang mana kerajaan memberikan fokus jitu terhadap pemerkasaan pendidikan masyarakat Orang Asli. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...