Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) kelmarin sangat padat dan bernas serta mengandungi banyak nasihat dan pendapat untuk kita junjung, amati serta jadikan panduan dan iktibar, ujar Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim.
“Ia juga jelas menggambarkan kepimpinan, kebijaksanaan, keprihatinan dan pemedulian serta pandangan jauh Baginda terhadap pembangunan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara khususnya untuk memperkasa pertumbuhan ekonomi dalam mengharungi arus perubahan ekonomi global yang kian mencabar,” ujarnya.
Yang Berhormat Pehin pada Persidangan MMN yang bersidang untuk hari kedua di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini, menyatakan bahawa Baginda Sultan sekali lagi telah melahirkan harapan terhadap majlis itu sebagai wadah untuk membahaskan perkara-perkara yang diperlukan oleh rakyat dan negara.
Oleh itu, jelasnya, perbahasan dan soalan-soalan yang diajukan dalam majlis itu, hendaklah memfokuskan kepada isu-isu yang strategik dan relevan kepada pembangunan negara serta juga hendaklah berkaitan dengan rang perbekalan yang dibahaskan, dasar-dasar, perancangan dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan supaya lebih tersusun dan terarah.Terdahulu sebelum Yang Berhormat Pehin membentangkan usul menyembahkan menjunjung kasih setinggi-tingginya kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, beliau telah menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan termasuk menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas bagi mengetatkan lagi kawalan kemasukan penyakit berkenaan ke negara ini setelah pengesanan kes pertama jangkitan COVID-19 di negara ini.
Pertumbuhan ekonomi
Beliau menyatakan bahawa di sebalik kadar pertumbuhan yang menggalakkan, situasi pergolakan geopolitik dan kemunculan dan penularan wabak COVID-19, telah memberi kesan serta menjejaskan hasil pendapatan negara yang masih banyak bergantung pada sumber minyak dan gas.
“Ini akan menyebabkan negara mengalami defisit. Namun demikian, dengan kepimpinan bijaksana KDYMM, kerajaan masih mampu melaksanakan pelbagai pembaharuan dari segi infrastruktur mahupun yang berbentuk dasar.
“Kita setentunya wajib bersyukur dan merasa amat beruntung kerana selaku rakyat dan penduduk di negara ini, kita masih terus dikurniakan beberapa bentuk bantuan dan subsidi dan menikmati berbagai-bagai kemudahan dan perkhidmatan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan seperti kesihatan dan pendidikan.
“Selaku rakyat dan penduduk yang bertanggungjawab, amatlah wajar dan menjadi kewajipan semua untuk memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan dengan sebaik-baiknya. Berterima kasih dan memberi sokongan kepada inisiatif-inisiatif kerajaan serta sentiasa taat-setia dan bersedia untuk menabur balik jasa dan mencurahkan bakti kepada raja, bangsa dan negara melalui apa jua cara sekalipun.”
Yang Berhormat Pehin berkata lagi bahawa meskipun negara berdepan dengan pelbagai cabaran dan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, melalui kepimpinan berwawasan Baginda Sultan, kerajaan telah mencatatkan beberapa pencapaian yang signifikan sepanjang 2019. Salah satu pencapaian tersebut ialah transformasi sektor telekomunikasi yang menjadi pemangkin dalam mengubah landskap ekonomi negara ke arah digital, revolusi industri ke-4 (IR4), melalui penubuhan Syarikat Unified National Networks Sdn Bhd (UNN).
“Kita berharap supaya kemajuan dalam era digital ini akan dapat mempertingkatkan iklim perniagaan dan pemberian perkhidmatan di sektor awam dan swasta di negara ini.
“Dengan adanya inisiatif-inisiatif seperti ini, aktiviti-aktiviti pelaburan langsung asing di negara ini akan terus meningkat sekali gus menambahkan hasil pendapatan negara.”
Kebolehpasaran belia tempatan
Di samping itu, Yang Berhormat Pehin turut menyatakan bahawa sumber tenaga manusia khususnya golongan belia adalah aset yang sangat bernilai bagi sesebuah negara. “Menyedari akan hakikat ini, kerajaan KDYMM telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penubuhan Manpower Planning and Employment Council yang berperanan untuk menangani isu-isu pengangguran di negara ini secara lebih efisien dan terarah.
“Antara langkah ialah mengukuhkan jalinan kerjasama dengan sektor-sektor industri dan institusi-institusi pendidikan di negara ini, untuk meningkatkan tahap employabilty dan kebolehpasaran anak-anak tempatan lepasan universiti dan pendidikan teknikal.
“Selaras dengan titah KDYMM, dasar-dasar kemasukan pekerja-pekerja asing, dasar-dasar pemberian latihan dan proses pengisian jawatan-jawatan kosong dalam perkhidmatan awam hendaklah diteliti.”
Pada masa yang sama, golongan belia juga diseru untuk tampil ke hadapan dalam menyahut titah-titah Baginda Sultan supaya mereka sentiasa berusaha untuk memajukan diri danmembina keperibadian serta kebolehan masing-masing.
“Rebutlah peluang dan kemudahan yang disediakan dengan melibatkan diri secara aktif dalam program-program pembangunan dan dalam bidang perniagaan supaya golongan belia menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor perniagaan di negara ini.”
Rancang pembangunan, pantau peruntukan
Sementara itu, dengan siapnya pembinaan jambatan penghubung Daerah Brunei Muara dengan Daerah Temburong serta penubuhan Autoriti Kemajuan Daerah Temburong, rancangan-rancangan pembangunan Daerah Temburong akan dapat dilaksanakan dengan lebih pesat dan tersusun.
“Kemajuan-kemajuan ini sudah setentunya akan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk Daerah Temburong dan menjana lebih banyak aktiviti perekonomian di daerah tersebut, sekali gus menjadi penyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.
“Perbelanjaan besar yang telah dikeluarkan untuk membiayai pembinaan jambatan dan rancangan-rancangan pembangunan Daerah Temburong, jelas menggambarkan komitmen, rasa kasih dan tanggungjawab KDYMM dalam memeduli kebajikan dan kesejahteraan seluruh rakyat dan penduduk di negara ini dan dalam memastikan pembangunan dan kemajuan luar bandar yang inklusif, seiring dan menyeluruh.”
Dalam menjana pembangunan negara, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa kerajaan Baginda Sultan akan terus komited untuk menyediakan peruntukan bagi membiayai projek-projek dan inisiatif pembangunan.
“Mengambil kira sumber pendapatan negara yang masih terhad, setiap agensi kerajaan berkewajipan untuk mendukung titah KDYMM supaya sentiasa berhati-hati dalam merancang dan mengurus perbelanjaan.
“Segala projek dan inisiatif yang dilaksanakan, hendaklah dipantau, ditadbir dan diurus dengan cekap dan telus serta amanah agar ia dapat mencapai sasaran output atau outcome yang telah ditetapkan.”
“Agensi-agensi yang lain juga disarankan untuk tidak camah mata dalam sama-sama memantau projek-projek yang dilaksanakan selaras dengan tanggungjawab masing-masing.” Beliau menyatakan bahawa melalui amalan berhemah dan usaha-usaha untuk mempelbagaikan ekonomi, kita akan dapat mengukuhkan kestabilan kedudukan kewangan negara dan ekonomi negara akan terus membangun dengan lebih yakin.