Junta dakwa Suu Kyi lakukan penipuan pilihan raya 2020

YANGON, 16 NOV – Junta Myanmar mendakwa pemimpin awam digulingkan, Aung San Suu Kyi melakukan penipuan pada pilihan raya 2020 yang menyaksikan parti beliau mencatat kemenangan besar, lapor media negara ini, hari ini.

Suu Kyi dituduh ‘melakukan penipuan pilihan raya dan tindakan melanggar undang-undang’, lapor akhbar Global New Light of Myanmar, tanpa memberikan perincian lanjut mengenai tarikh prosiding mahkamah akan bermula.

Seramai 15 pegawai lain termasuk bekas Presiden, Win Myint dan pengerusi suruhanjaya pilihan raya, turut berdepan pertuduhan sama, menurut laporan itu lagi. Myanmar dibelenggu pergolakan sejak rampasan kuasa oleh tentera pada Februari lalu yang menyaksikan bantahan meluas di seluruh negara dan pertumpahan darah. Suu Kyi, 76, ditahan sejak rampasan kuasa itu, berdepan pelbagai pertuduhan termasuk mengimport ‘walkie talkie’ secara haram, hasutan dan rasuah, yang boleh dihukum penjara selama berdekad-dekad jika didapati bersalah.

Ketika ini, beliau sedang dibicarakan atas pertuduhan melanggar sekatan COVID-19 ketika berkempen pada pilihan raya di mana partinya, Liga Nasional Demokrasi (NLD), berjaya menewaskan parti yang bersekutu dengan tentera.

Pemerhati antarabangsa menyifatkan, sebahagian besar pilihan raya pada 2020 itu adalah bebas dan adil. – AFP