YANGON, 17 APRIL – Harapan keluarga-keluarga pembantah yang ditahan tidak tercapai hari ini selepas tahanan politik tidak dimasukkan dalam kira-kira 1,600 yang dibebaskan oleh junta untuk menandakan Tahun Baharu Buddha.
Negara itu bergolak sejak kerajaan rakyat Aung San Suu Kyi disingkirkan tahun lalu dalam rampasan kuasa tentera, yang mengakibatkan bantahan besar dan tindakan tegas berdarah.
Televisyen negara mengumumkan 1,619 orang tahanan, termasuk 42 warga asing, telah diberikan ‘pengampunan’ dan akan dibebaskan untuk menandakan tahun baharu – acara tradisi tahunan yang menyaksikan 23,000 orang tahanan dibebaskan tahun lalu.
Seorang tahanan yang dibebaskan dari penjara Insein, Yangon memberitahu AFP bahawa ‘kes politik dan bantahan bukan antara yang dibebaskan,’ dengan pihak berkuasa hanya membebaskan penjenayah.
Orang ramai di hadapan penjara secara perlahan-lahan meninggalkan tempat itu pada petang hari ini. Lebih 100 orang yang berhimpun berharap untuk disatukan semula dengan ahli keluarga, menurut wartawan AFP.
Antaranya ialah seorang wanita yang menanti anak buahnya berusia 19 tahun, dihukum penjara tiga tahun kerana bantahan terhadap tentera.
“Dia masih muda dan dia mungkin mempunyai perasaan untuk berjuang,” katanya tanpa mendedahkan namanya.
“Saya berharap semua anak-anak muda dibebaskan termasuk anak buah saya. Mereka semua tidak bersalah.”
Aye Myint, yang anak perempuannya berusia 19 tahun yang dipenjara selama tiga tahun atas dakwaan politik, berharap dia akan dibebaskan.
“Sekarang dia lebih setahun berada di penjara,” kata Aye Myint.
Sekitar tengah hari hari ini, seorang pegawai penjara mengesahkan bahawa ‘kira-kira 160 orang tahanan termasuk enam orang wanita’ telah dibebaskan dari Insein, tanpa memberikan lebih banyak butiran. – AFP