YANGON, MYANMAR, 3 NOV – Ketua junta Myanmar hari ini berikrar untuk menyerang balas selepas pakatan kumpulan-kumpulan etnik minoriti merampas bandar-bandar dan menyekat laluan perdagangan ke China dalam serangan terkoordinasi terbesar
terhadap tentera sejak ia merampas kuasa.
Pertempuran telah berlaku selama seminggu di seluruh utara negeri Shan, memaksa lebih 23,000 orang meninggalkan rumah mereka menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dalam apa yang dikatakan peng-analisis sebagai cabaran ketenteraan paling teruk junta sejak ia merampas kuasa pada 2021.
Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA), Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA) dan Tentera Arakan (AA) kelmarin berkata bahawa mereka telah menawan berpuluh-puluh pos dan empat bandar serta menyekat laluan perdagangan penting ke China.
“Kerajaan akan melancarkan serangan balas” terhadap kumpulan bersenjata, kata Min Aung Hlaing dalam ucapan kepada anggota Majlis Pentadbiran Negeri, yang dilaporkan dalam akhbar milik kerajaan, Global New Light of Myanmar.
Dia juga menuduh Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA) di negeri jiran Kachin, menyerang ‘kemudahan pengangkutan’ dan pangkalan tentera, dan memberi amaran bahawa tentera akan membalas.
Kelmarin, seorang jurucakap junta berkata tentera telah kehilangan kawalan ke atas bandar Chinshwehaw, hab perdaga-ngan utama di sempadan dengan wilayah Yunnan, China. – AFP
