TOKYO, 20 MEI – Dua pegawai Kedutaan Myanmar di Tokyo menjadi diplomat terbaharu yang dipecat oleh junta selepas menyertai tunjuk perasaan rampasan kuasa di negara mereka, lapor agensi berita Kyodo hari ini.
Menurut agensi itu, Pentadbir Aung Soe Moe dan seorang rakan sekerja junior dipecat selepas mereka menyertai protes.
Memetik satu laporan dokumen yang dibocorkan, Kyodo melaporkan sekitar 100 diplomat Myanmar seluruh dunia dipecat kerana menentang rampasan kuasa di Myanmar.
Kyodo melaporkan, dua diplomat meninggalkan kawasan kedutaan pada 11 Mac lalu, sehari selepas menaikkan hantaran menerusi Facebook, menyokong tunjuk perasan anti junta secara aman.
Kedua-duanya tidak meletak jawatan tetapi status diplomatik dan pasport mereka dibatalkan dan masih tinggal di Tokyo dengan pertolongan warga Myanmar lain.
Kedutaan Myanmar memaklumkan Kementerian Luar Jepun bahawa visa diplomatik kedua-dua individu itu tidak lagi sah, kata jurucakap kerajaan Jepun, Katsunobu Kato kepada pemberita hari ini. – AFP



































