YANGON, 11 JAN – Junta Myanmar kelmarin melancarkan serangan udara ke atas markas kumpulan etnik bersenjata berhampiran dengan sempadan India, menurut puak pemberontak dan media, dengan satu bom gugur dekat sempadan antarabangsa.
Rampasan kuasa tentera hampir dua tahun lalu telah mencetuskan semula perbalahan dengan kumpulan etnik pemberontak, serta dengan puluhan kumpulan Angkatan Pertahanan Rakyat yang telah muncul untuk menentang junta.
Pengeboman oleh lima jet pejuang kelmarin telah mengorbankan lima orang pemberontak di ibu pejabat Barisan Nasional Chin (CNF), yang mendakwa mewakili puak minoriti Kristian Chin di barat Myanmar, kata jurucakap, Salai Htet Ni kepada AFP.
“Mereka telah menggugurkan tujuh butir bom. Beberapa rumah kami telah musnah daripada serangan udara. Sebutir bom telah gugur di kawasan India,” katanya.
Media tempatan turut melaporkan lima orang pemberontak telah terbunuh dan sebutir bom telah gugur di daerah Champhai, negeri Mizoram, India. – AFP