Junta Myanmar tahan semula 100 pembantah

BANGKOK, 22 OKT – Junta Myanmar menahan semula lebih 100 penunjuk perasaan antikudeta yang dibebaskan dalam pengampunan baru-baru ini, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Negara Asia Tenggara itu dibelenggu kekacauan sejak rampasan kuasa pada Februari lalu dan lebih 1,000 orang telah terbunuh dalam tindakan keras junta manakala 8,000 lagi ditahan, kata Pertubuhan Bantuan Tawanan Politik (AAPP).

Tentera telah membebaskan seramai 5,000 orang sempena festival Buddha, Thadingyut yang berlangsung selama tiga hari pada Isnin lalu.

Jumlah pembebasan sebenar di seluruh negara tidak dapat disahkan dan ramai yang dibebaskan selepas menandatangani dokumen yang berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.

Sekurang-kurangnya 110 daripada mereka yang diberikan pengampunan telah ditahan semula, menurut AAPP.

“Sebilangan ditahan semula sebaik tiba di rumah,” katanya dalam kenyataan semalam. – AFP

Polis meronda dalam sebuah trak di pusat bandar Yangon, 22 Okt. Junta Myanmar menahan semula 100 penunjuk perasaan dibebaskan minggu lalu, menurut sebuah kumpulan pemantau. –AFP