Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Junta terbuka berunding dengan Suu Kyi selepas perbicaraan

    YANGON, 19 OGOS – Ketua tentera Myanmar hari ini mengatakan junta terbuka untuk berunding dengan pemimpin digulingkan, Aung San Suu Kyi bagi menamatkan krisis dicetuskan oleh rampasan kuasa selepas perbicaraannya di mahkamah junta berakhir.

    “Selepas proses berdasarkan undang-undang terhadapnya berakhir, kami akan mempertimbangkan rundingan berdasarkan responsnya,” menurut ketua tentera, Min Aung Hlaing dalam satu kenyataan. Suu Kyi, 77, telah ditahan sejak para jeneral menggulingkan kerajaannya dalam satu rampasan kuasa pada 1 Februari tahun lalu, menamatkan tempoh pemerintahan demokrasi singkat negara Asia Tenggara itu.

    Dia setakat ini dipenjarakan 17 tahun atas pelbagai dakwaan yang menurut kumpulan hak asasi bermotifkan politik.

    Suu Kyi berdepan berdekad-dekad lagi hukuman penjara jika disabit kesalahan atas beberapa tuduhan lain yang dikemukakan di mahkamah tertutup junta. Wartawan telah dilarang daripada mengikuti prosiding mahkamah dan peguamnya tidak dibenarkan bercakap dengan media manakala junta turut tidak memberikan petunjuk bila perbicaraannya akan selesai.

    Pada Julai, seorang jurucakap junta memberitahu AFP bahawa ‘ia tidak mustahil’ rejim itu akan mengadakan dialog dengan Suu Kyi bagi menyelesaikan kekacauan dicetuskan rampasan kuasa tentera tahun lalu.

    “Kami tidak mengatakan bahawa rundingan dengan Suu Kyi adalah mustahil,” kata Zaw Min Tun memberitahu AFP pada ketika itu. – AP

    Gambar fail Suu Kyi semasa meraikan ulang tahun ke-73nya di perkarangan parlimen semasa pemerintahannya di Naypyidaw. Ketua tentera Myanmar mengatakan junta terbuka untuk berunding dengan Suu Kyi selepas perbicaraannya selesai. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...