Jurang digital di Sabah, Sarawak ditangani

KUALA LUMPUR, 16 JULAI – Kerajaan sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar di seluruh negara, sekali gus mengurangkan perbezaan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata kementerian kini mengadakan sesi perancangan bersama pihak industri melalui Makmal Infrastruktur Digital Negara (Makmal) yang bermula 13 Julai hingga 14 Ogos ini, diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), untuk memantapkan kualiti dan liputan perkhidmatan di seluruh negara.

Beliau berkata di Sabah misalnya, sekurang-kurangnya 115 menara telekomunikasi baharu yang merangkumi perkhidmatan jalur lebar akan dibina di bawah inisiatif penyediaan perkhidmatan selular awam.

“Selain itu, sebanyak 10 stesen pemancar 4G baharu serta 266 menaiktarafkan telah dilaksanakan secara komersial oleh pihak pemberi perkhidmatan di Sabah yang telah siap dan beroperasi pada tahun ini.

“Di samping itu, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap, inisiatif menaiktarafkan perkhidmatan berasaskan tembaga kepada rangkaian gentian optik akan dilaksanakan dan sebanyak 43,879 pelanggan di Sabah akan dinaiktarafkan dalam tempoh dua tahun ini,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik menerusi laman sesawang rasmi Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang bertanyakan langkah yang telah, sedang dan akan diambil untuk memastikan capaian Internet dengan kelajuan tinggi di Sabah akan tersebar luas terutama dengan penggunaan gentian optik dan bilakah Sabah akan mendapat lebih banyak spektrum supaya lebih banyak saluran radio boleh diwujudkan.

Sementara itu di Sarawak, Saifuddin berkata SKMM akan bekerjasama de-ngan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dari segi perancangan dan memudah cara proses kelulusan pembinaan untuk mempercepat pembinaan infrastruktur digital bagi menambah baik liputan dan kualiti jalur lebar di negeri itu.

Katanya ini merupakan antara persetujuan penting dicapai dalam sesi kunjungan hormat beliau ke atas Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) pada 10 Julai lalu. “Penambahbaikan liputan jalur lebar melalui Makmal Infrastruktur Digital Negara juga akan turut dihadiri oleh pegawai kanan SMA untuk menangani keperluan di Sarawak,” katanya, juga dalam jawapan bertulis yang dimuat naik menerusi  laman sesawang parlimen. – Bernama