Jurassic World kembali berjaya tarik perhatian

AKSI dinosaur dilihat berjaya kembali menarik perhatian penonton di pawagam pada minggu ini.

Jurassic World: Fallen Kingdom berjaya mendominasi carta Box Office pada minggu ini dengan jumlah kutipan sebanyak AS$150 juta hasil tayangan dari 4,475 pawagam.

Walaupun jumlah kutipan tersebut agak tersasar jauh berbanding sasaran awal iaitu sekitar AS$208.8 juta namun prestasi yang ditonjolkan dari pasaran antarabangsa iaitu apabila berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$700 juta.

Filem yang menelan kos pembikinan setinggi AS$187 juta dan diarahkan oleh J.A. Bayona.

Antara barisan pelakon yang membinatangi siri kelima dalam francais Jurassic World ini adalah Chris Pratt, Bryce Dallas Howard, Rafe Spall, Justice Smith, Daniella Pineda, James Cromwell, Toby Jones dan ramai lagi.

Owen lakonan Chriss Pratt kembali berusaha untuk menyelamatkan dinosaur dalam Jurassic World: Fallen Kingdom.
Keluarga Parr kembali beraksi dalam filem animasi, Incredibles 2.
Tiga wanita yang giat melaksanakan rancangan rompakan dalam Ocean’s 8.

Ia mengisahkan mengenai keadaan huru-hara mula tercetus apabila gunung berapi di sebuah pulau mula memperlihatkan kesan aktifnya sehingga menggesa Owen dan Claire untuk terus berusaha bagi menyelamatkan dinosaur yang tinggal di kawasan tersebut sekali gus berusaha bagi melindunginya daripada diancam oleh kepupusan.

Sementara juara pada minggu lalu, Incredibles 2 pula harus akur menduduki tangga kedua setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$80 juta hasil tayangan dari 4,410 pawagam.

Secara purata, filem animasi yang menampilkan suara latar daripada Craig T. Nelson, Holly Hunter, Sarah Vowell, Huck Milner, Samuel L. Jackson dan Bob Odenkirk itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$350 juta hanya dalam tempoh tayangan selama dua minggu.

Manakala di peringkat antarabangsa pula, filem arahan Brad Bird itu juga telah berjaya mendapat kutipan setinggi AS$485 juta sekali gus berjaya menewaskan siri pertama filem tersebut.

Lebih membanggakan lagi apabila filem tersebut juga turut berjaya disenaraikan sebagai filem animasi kelapan yang berjaya mendapat sambutan cukup menggalakkan.

Berada di tempat ketiga adalah Ocean’s 8 yang berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$11.6 juta hasil tayangan dari 3,656 pawagam.

Filem terbitan Warner Bros itu menampilkan aksi sekumpulan pelakon wanita terkemuka seperti Sandra Bullock, Cate Blanchett, Anne Hathaway, Mindy Kaling, Sarah Paulson, Awkwafina, Rihanna dan Helena Bonham Carter.

Secara purata, filem arahan Gary Ross ini telah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$100.4 juta dalam tempoh tayangan selama tiga minggu di mana ia juga dilihat telah berjaya mengembalikan keuntungan pada kos pembikinan sebanyak AS$70 juta.

Antara adegan komedi yang ditonjolkan dalam filem Tag.
Watak Domino dalam Deadpool 2 dilakonkan oleh Zazie Beetz.

Sebuah lagi filem terbitan Warner Bros, Tag pula menduduki tangga keempat dengan jumlah kutipan sebanyak AS$8.2 juta.

Secara keseluruhan, filem komedi itu telah berjaya memperolehi kutipan setinggi AS$30 juta dalam tempoh tayangan selama dua minggu di mana ia secara tidak langsung turut berjaya mengembalikan kos pembikinan sebanyak AS$28 juta yang diperuntukkan bagi merealisasikan filem tersebut.

Sementara, Deadpool 2 yang menampilkan Ryan Reynolds sebagai teraju utama pula menduduki tangga kelima dengan jumlah kutipan sebanyak AS$5.2 juta.

Filem sekuel terbitan 20th Century Fox itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$300 juta bagi pasaran domestik dan AS$700 juta bagi pasaran antarabangsa.

Menurut comScore, kutipan menggalakkan yang diterima oleh Jurassic Park: Fallen Kingdom dan Incredibles 2 telah berjaya menjadikan penjualan tiket meningkat sebanyak 97.3 peratus berbanding pada minggu sama tahun lalu.

Di samping itu, hasil penjualan tiket pada tahun ini juga memperlihatkan peningkatan sebanyak 8.5 peratus.

“Lebih membanggakan lagi apabila kutipan yang diperolehi itu jauh lebih tinggi berbanding yang diperolehi oleh Transformers: The Last Knight yang ditayangkan pada minggu yang sama pada tahun lalu,” jelas Penganalisis Media Kanan di comScore, Paul Dergarabedian.

Antara filem lain yang turut baru ditayangkan pada minggu ini adalah The Catcher was a Spy, Lobster Cop, Boundaries dan Damsel yang kurang mendapat sambutan yang agak menggalakkan.