Jurugambar Australia giat dukung pemuliharaan alam sekitar

SYDNEY – Jurugambar Australia yang memenangi anugerah Scott Portelli merupakan salah seorang daripada mereka yang bertuah telah mengubah semangat yang tidak berbelah bagi menjadi kerjaya kreatif.

“Saya sentiasa tertarik dengan kebanyakan haiwan, hidupan liar, hidupan marin, alam semula jadi, persekitaran kita, landskap kita,” katanya kepada Xinhua.

Daya tarikan yang mempesonakan menyebabkan Portelli meninggalkan kerja pemasarannya untuk membawa kameranya ke beberapa kawasan paling indah di dunia termasuk Artik, Antartika, Afrika dan pulau-pulau Pasifik Selatan.

Imej yang diambilnya menunjukkan potret kehidupan hidupan liar yang jarang dilihat, terutamanya kehidupan marin yang terdiri daripada ikan paus yang megah, anjing laut harimau bintang, jerung dan ikan matahari laut hingga kuda laut yang halus dan obor-obor lut sinar.

Potret peribadinya telah mendapat anugerah antarabangsa, yang terbaharu ialah Jurugambar Alam Geografi Australia Terbaik untuk imej seekor naga laut berdaun merenung jauh ke dalam lensa kamera.

Gambar fail bertarikh 4 Mei 2020 menunjukkan Scott Portelli mengambil gambar naga laut berdaun di luar pantai selatan Australia. – Xinhua

Antara karya terkenalnya yang lain ialah filem tentang ikan paus, Gentle Giants, yang dipilih untuk Festival Filem Lautan Antarabangsa di San Francisco tahun lepas. Sementara itu gambar-gambarnya telah menghiasi pameran di destinasi terpencil seperti Iceland, Britain dan Sepanyol, serta kampung halamannya Sydney.

Portelli berharap gambar-gambar itu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan hidupan liar.

“Saya fikir perkara terbaik mengenai pekerjaan ini ialah saya pergi ke beberapa tempat terpencil dan melihat haiwan unik ini,” katanya.

“Sebagai jurugambar hidupan liar, awda cuba berkongsi perkara itu dengan khalayak yang lebih luas untuk menarik orang ramai berhubung dengan alam semula jadi dan hidupan liar.

“Saya suka menunjukkan kepada orang ramai tingkah laku haiwan yang mereka mungkin tidak pernah lihat sebelum ini. Saya mempunyai gambar, contohnya, penyu yang memakan obor-obor gergasi. Jadi seseorang mungkin melihatnya dan berfikir: ‘Saya tidak tahu haiwan itu memakannya’.”

“Dengan menghubungkan manusia dengan alam semula jadi dan hidupan liar, mereka mungkin dapat bertindak. Sama ada dengan menandatangani petisyen atau mengutip plastik di pantai atau melihat bagaimana ia memberi kesan dalam persekitaran hidupan liar.”

Kesedaran alam sekitar termasuk pemahaman tentang peranan biodiversiti untuk ekosistem yang sihat.

“Banyak kerja yang saya lakukan, saya cuba menunjukkan kepelbagaian ekosistem kita. Kita mempunyai banyak makhluk dalam hubungan simbiotik, jadi, sebagai contoh, jika awda memberi kesan kepada satu perkara di lautan, maka sesuatu yang lain akan mengambil alih.

“Jika semua jerung mati, maka spesies lain akan mengambil alih yang boleh memberi kesan kepada sistem terumbu karang dan sebagainya.”

Mesej beliau adalah tepat pada masanya di tengah-tengah persidangan alam sekitar di Glasgow, baru-baru ini. “Pencemaran plastik di lautan dan pecahan mikroplastik ini yang akan kekal selama-lamanya.

“Manakala jumlah oksigen yang datang dari lautan dan rumput laut yang orang ramai tidak sedari, itu adalah sebahagian besar bagaimana kita, sebagai spesies, mampu bertahan,” katanya.

“Lautan kita adalah kehidupan kita dan bukan sumber yang tidak terhad. Penangkapan ikan berlebihan, kehilangan habitat, perubahan iklim, semua perkara ini boleh mengurangkan dunia dalam air kita menjadi tanah yang terbiar.” – Xinhua