Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jurugambar terkenal dipenjara

    DHAKA, 13 Ogos – Jurugambar terkenal Bangladesh, Shahidul Alam dipenjara hari ini, 10 hari selepas dia ditahan susulan temu bualnya dengan rangkaian stesen Al Jazeera mengenai demonstrasi pelajar besar-besaran, kata polis.

    Alam, 63 yang menuduh anggota polis memukulnya dalam tahanan dan sebelum ini dihantar ke hospital untuk pemeriksaan atas perintah mahkamah tinggi, dibawa ke mahkamah majistret lewat kelmarin.

    “Mahkamah kemudian memerintahkan supaya dia penjara,” kata pegawai polis, Moshiur Rahman kepada AFP. Seorang lagi pegawai polis memberitahu akhbar tempatan Daily Star bahawa Alam akan dipenjara sehingga siasatan ke atas tuduhannya selesai.

    Gambar yang diambil pada 8 Ogos 2018 menunjukkan Shahidul Alam melambaikan tangan kepada wartawan ketika dibawa ke sebuah hospital di Dhaka. – AFP

    Alam dituduh membuat kenyataan ‘palsu’ dan ‘provokatif’ di Al Jazeera dan di Facebook Live ketika puluhan ribu pelajar mengadakan bantahan di Dhaka pada akhir bulan Julai dan awal bulan Ogos ini. Dia juga mengambil dan menerbitkan gambar-gambar demonstrasi tersebut.

    Dia sedang disiasat kerana didakwa melanggar undang-undang Internet Bangladesh, yang digubal pada tahun 2006 dan diangkat pada tahun 2013, di mana pengkritik mengatakan undang-undang itu digunakan untuk menghindari perbezaan pendapat dan mengekang wartawan.

    Alam berdepan dengan hukuman penjara maksimum selama 14 tahun jika disabitkan bersalah. Pemerhati Hak Asasi yang berpangkalan di New York dan Amnesty International, London telah menuntut bagi pembebasan Alam. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda