Jurulatih B22 belum diputuskan

KUALA LUMPUR, 16 DIS – Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak akan dibebankan dengan dua tugas sehingga pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tamat pada Jun 2020.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu pengendali berusia 51 tahun itu terus membimbing skuad Harimau Malaya tanpa dibebani dengan tanggungjawab lain termasuk sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata fokus utama Cheng Hoe pada 2020 adalah memastikan skuad Harimau Malaya melepasi saingan kelayakan itu dan beraksi pada pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Kita (FAM) tidak berbincang pun mengenai hal ini (menjadi ketua jurulatih skuad B-22) dengan beliau (Cheng Hoe) kerana nak dia fokus bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. Sebelum bulan Jun, kita tidak mahu fokus beliau lari daripada pasukan kebangsaan.

“Tiada keperluan yang mendesak untuk kita melantik pengganti Datuk Ong (Kim Swee) kerana skuad B-22 tidak mempunyai sebarang kejohanan besar tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Cheng Hoe disebut-sebut antara calon untuk membimbing skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara selepas FAM mengumumkan kontrak Datuk Ong Kim Swee yang berakhir akhir tahun ini tidak akan disambung.

Bagaimanapun, skuad B-22 tidak akan mengharungi sebarang kejohanan antarabangsa pada 2020 apabila gagal beraksi pada Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 Januari ini selepas terkandas di pusingan kelayakan, Mac lepas. – Bernama