Jurulatih Bremen letak jawatan, guna dokumen vaksinasi palsu

BERLIN, 21 NOV – Pasukan divisyen dua Jerman, Werder Bremen telah berpisah dengan ketua jurulatih, Markus Anfang, yang meletak jawatan kelmarin di tengah-tengah siasatan kerana menggunakan dokumen vaksinasi palsu.

“Disebabkan situasi yang sangat sukar untuk kelab, pasukan, keluarga saya dan saya sendiri, saya telah memutuskan untuk meletak jawatan sebagai jurulatih Werder Bremen yang berkuat kuasa dengan serta-merta,” kata Anfang dalam satu kenyataan.

Pengurus berusia 47 tahun itu telah menjadi tumpuan skandal sejak Khamis lalu, apabila dia disiasat oleh polis kerana menggunakan dokumen palsu untuk mendakwa dia telah menerima vaksin sepenuhnya terhadap COVID-19.

Anfang sebelum ini menafikan dakwaan itu dalam satu kenyataan, yang hilang daripada laman web Bremen kelmarin.

Pengarah urusan, Frank Baumann memberitahu saluran TV Bremen bahawa terdapat ‘perkembangan lanjut dan keadaan yang berbeza – dengan fakta telah berubah’.

Penolong jurulatih, Florian Junge, yang juga dalam siasatan, telah meletak jawatan bersama Anfang.

Danijel Zenkovic, penolong jurulatih Anfang, kini bertanggungjawab untuk perlawanan pada hari Sabtu menentang Schalke yang diturun-kan ke divisiyen lebih rendah bersama Bremen musim lalu.

Kedua-dua Schalke dan Bremen berada di senarai kedudukan tengah ketika mereka berusaha untuk kembali ke Bundesliga. – AFP