Jurulatih BSL hadiri seminar NFABD

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Pihak jurulatih daripada kelab-kelab bolasepak Liga Super Brunei (BSL) telah menghadiri Seminar Summary on Changes IFAB Laws of Game 2020/2021 yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) kelmarin.

Antara tujuan seminar tersebut diadakan adalah bagi memberigakan dan meningkatkan pengetahuan jurulatih-jurulatih mengenai beberapa perubahan undang-undang International Football Association Board (IFAB) yang baru diperkenalkan termasuk kebenaran membuat penukaran lima pemain simpanan.

Seminar disampaikan oleh Mohd Yusof Zaki, bertempat di NFABD House, Jalan Pusat Persidangan.

Penolong Ketua Jurulatih Kelab Indera SC, Awang Muhammad Edie Fakhri Ajun bin Abdullah menyambut baik usaha pihak NFABD untuk meluaskan pengetahuan mengenai perkembangan undang-undang dalam perlawanan bola sepak.

“Seminar tersebut sangat bermanfaat kerana dapat memberikan penjelasan terperinci mengenai undang-undang baharu yang akan dilaksanakan,” katanya.

“Kita yakin dengan pemberigaan berkenaan akan menjadi tanda ukur kepada setiap pasukan untuk membentuk kemantapan pasukan masing-masing,” tambahnya.

Mohd Yusof Zaki menerangkan kepada jurulatih-jurulatih mengenai perubahan undang-undang IFAB yang baru diperkenalkan.