Jurulatih Galaxy letak jawatan

LOS ANGELES, 11 Sept – Sigi Schmid meletak jawatan sebagai jurulatih skuad Los Angeles Galaxy dalam saingan Major League Soccer (MLS) semalam, dengan Dominic Kinnear bertindak sebagai jurulatih sementara bagi kempen yang selebihnya musim ini.

Schmid, 65, warga Jerman-Amerika Syarikat (AS) merupakan jurulatih paling cemerlang dalam sejarah MLS dengan 266 musim biasa dan kemenangan dalam playoff serta menjuarai gelaran Piala MLS pada 2002 dan 2008 dan lima gelaran Piala Terbuka AS.

“Selepas menimbangkan dengan teliti, saya memutuskan untuk meletak jawatan daripada tugas itu tetapi akan kekal dalam perlawanan,” kata Schmid.

Langkah tersebut dibuat ketika Galaxy berada pada kedudukan 10-10 dengan lapan seri bagi 38 mata, satu kemenangan di luar kedudukan playoff dengan baki enam perlawanan musim ini.

Schmid (kanan) memakai jaket berwarna merah yang diserahkan oleh Hank Steinbreacher daripada Soccer Hall of Fame AS sebelum menentang Sounders dimulakan di Seattle pada 4 Oktober 2015. – AP

“Dengan berbaki enam perlawanan ketika kelab itu bersaing dalam merebut tempat playoff, saya faham ia adalah keputusan yang sukar masa ini,” kata Schmid.

“Bagaimana pun, saya percaya skuad ini akan bersatu dan berjuang bagi merebut tempat musim ini di bawah kendalian Kinnear.”

Kinnear, 51, dari Scotland telah membantu Houston memenangi Piala MLS pada tahun 2006 dan 2007 dan membantu 166 kemenangan, ketiga terbanyak dalam sejarah MLS.

“Fokus kami sekarang adalah untuk memenangi sebanyak mungkin perlawanan sehingga penghujung musim,” kata Kinnear. Schmid mengadu mengenai tidak dapat untuk membawa pemain defensif dalam jendela pertukaran pertengahan musim, menurut laporan Los Angeles Times. – AFP