BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Ogos – Jurulatih pasukan bola sepak Brunei Darussalam, Kwon Oh-son mahu pasukan negara kembali dengan lebih kuat bagi Sukan Asia Tenggara (SEA) seterusnya selepas pulang ke tanah air tanpa mengutip sebarang mata dari edisi tahun ini di Kuala Lumpur.
Brunei memulakan kempen mereka dengan kekalahan 2-1 kepada pasukan tuan rumah, Malaysia sebelum tewas 6-0 kepada Myanmar dan 4-0 kepada Laos. Pasukan negara menamatkan kempen Kumpulan A dengan kekalahan tipis 1-0 kepada Singapura sebelum kembali ke tanah air awal pagi tadi.
“Secara keseluruhannya persembahan pasukan baik, tetapi keputusan yang diperoleh adalah mengecewakan,” kata Kwon.
“Kami memberikan persaingan hebat dalam perlawanan menentang Malaysia dan Singapura, tetapi kami tidak begitu fokus atau yakin dalam perlawanan menentang Laos dan Myanmar.
“Kami tidak boleh berhenti di sini. Sebahagian besar pemain ini masih boleh bermain bagi Sukan SEA 2019 nanti, jadi kami akan mengekalkan pasukan ini dan bekerja lebih keras,” tambah jurulatih dari Korea Selatan itu.
Hadir bagi mengalu-alukan skuad negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD), Haji Madli bin Mohd Yussof dan para pegawai NFABD yang lain.
“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada anda semua kerana telah memberikan yang terbaik di Sukan SEA, meskipun masih banyak yang perlu dianalisis dan kerja yang perlu dilakukan,” kata Haji Madli.
“Pujian telah diberikan atas persembahan anda semua ketika menentang Malaysia dan Singapura. Dan saya harap anda akan terus berlatih untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik di masa depan.”