Jurulatih Lubnan kecam pengadil

AL-AIN, Emiriah Arab Bersatu, 10 Jan – Jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic berkata skuad kendaliannya bermain ‘menentang 12 atau 13’ apabila beliau mengecam pengadil selepas kalah di tangan Qatar pada cabaran Piala Asia, hari ini.

Radulovic berkata, pengadil dari China, Ma Ning menyekat peluang Lubnan selepas membatalkan gol separuh masa pertama yang sepatutnya membantu mereka mendahului 1-0 menentang tuan rumah Piala Dunia 2022.

Qatar akhirnya menang perlawanan dalam Kumpulan E selepas gol separuh masa kedua menerusi Bassam Al-Rawi dan Almoez Ali, menyebabkan Lubnan menanti kemenangan pertama mereka dalam Piala Asia.

“Sukar untuk bercakap selepas perlawanan seperti itu kerana saya membimbing skuad kendalian saya beraksi 11 pemain menentang 11, tapi ini 11 menentang 12 atau 13, bermakna pengadil,” tegas jurulatih dari Montenegro itu.

“Apabila anda bermain… sempurna, disiplin secara taktikal, anda menjaringkan gol 1-0 dan mereka mencuri gol kami, amat sukar untuk menerimanya selepas itu,” katanya.

Sepakan voli Ali Hamam pada minit ke-39 yang dibatalkan berikutan insiden menolak oleh pertahanan Lubnan, George Felix Melki, telah mencetuskan keberangan Radulovic di tepi padang.

Qatar akhirnya berjaya membuka tirai gol selepas 20 minit pada separuh masa kedua menerusi sepakan percuma di petak penalti setelah bola terkena tangan Hassan Maatouk.

Radulovic mendakwa perlawanan itu sebagai tidak adil dengan mengatakan Qatar telah melakukan ‘lebih 20 kesalahan’ tetapi tidak dilayangkan sebarang kad kuning. – AFP

Reaksi jurulatih Lubnan (kiri) ketika menyaksikan skuad kendaliannya menentang Qatar di Emiriah Arab Bersatu, kelmarin. – Xinhua