KAHERAH, 17 JUN – Ehab Galal dipecat sebagai jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Mesir setelah mengambil alih tugas Carlos Queiroz sejak dua bulan yang lalu.
Pegawai Persekutuan Bola sepak Mesir, Hazem Emam memberitahu semasa sidang media di Kaherah bahawa pemecatan tersebut berpunca dari prestasi pasukan yang menunjukkan hasil yang negatif.
“Beberapa calon jurulatih luar negara pada masa ini dalam pertimbangan dengan rancangan untuk memulakan rundingan dengan mereka,” kata Emam.
Mesir, yang beraksi tanpa kapten pasukan mereka, Mohamed Salah dan beberapa pemain utama, tewas 2-0 dalam perlawanan menentang Ethiopia pada Khamis lalu dalam perlawanan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika 2023.
Terdahulu, Mesir ditundukkan oleh Senegal dalam edisi perlawanan Piala Negara-Negara Afrika dalam perlawanan final pada Februari lalu dan sekali lagi ditewaskan oleh pasukan yang sama dalam perlawanan kelayakan, kali ini dalam playoff Piala Dunia 2022.
Bekas jurulatih pasukan Mesir, Galal, 54, mula mengendalikan pasukan tersebut pada 12 April selepas Queiroz berhenti kerana tidak dapat bersetuju dengan terma syarat yang dimasukkan dalam kontrak baharunya. – AFP