Thursday, October 5, 2023
23.2 C
Brunei

    -

    Jurulatih pasukan bola sepak wanita Sepanyol yang memenangi Piala Dunia dipecat

    MADRID, 6 SEPTEMBER – Jurulatih pasukan bola sepak wanita Sepanyol yang memenangi Piala Dunia dipecat kelmariin, kurang tiga minggu selepas sambutan kemenangan yang membawa kepada penggantungan presiden persekutuan bola sepak negara itu kerana mencium seorang pemain.

    Persekutuan bola sepak Sepanyol tidak memberikan penjelasan segera untuk pemecatan itu dan kebanyakannya memuji Jorge Vilda, mengatakan beliau kunci kepada pertumbuhan yang ketara dalam bola sepak wanita dan berterima kasih kepadanya kerana memimpin pasukan wanita negara merangkul kejuaraan Piala Dunia yang pertama dan menjadikan nombor dua dalam ranking FIFA.

    Vilda adalah antara mereka yang pada mulanya memuji presiden persekutuan Luis Rubiales apabila dia enggan meletak jawatan walaupun berdepan kritikan meluas kerana mencium bibir pemain Jenni Hermoso tanpa persetujuannya semasa sambutan kemenangan di atas padang bulan lalu di Sydney.

    Salah seorang penolong jurulatih Vilda, Montse Tomé, telah dilantik menggantikannya. Tomé ialah wanita pertama yang memegang jawatan itu.

    Vilda berkata dia terkejut dengan keputusan persekutuan dan menyifatkan pemecatannya sebagai ‘tidak adil’. Rubiales telah mengumumkan dalam perhimpunan agung tergempar persekutuan selepas Piala Dunia bahawa kontrak Vilda akan diperbaharui.

    “Penjelasan yang mereka berikan kepada saya ialah terdapat beberapa perubahan struktur,” Vilda memberitahu rangkaian radio Sepanyol SER. “Selepas semua yang saya capai, selepas memberikan 100% saya, hati nurani saya adalah jelas. Saya tidak faham pemecatan itu, saya tidak fikir saya layak menerimanya.”

    Vilda berkata beliau menjangkakan Rubiales akan meletakkan jawatan semasa perhimpunan agung. Dia berkata dia tidak bertepuk tangan untuk menyokong Rubiales atau kelakuannya.

    “Saya tidak akan sekali-kali memuji apa-apa yang bertentangan dengan perjuangan untuk kesaksamaan,” kata Vilda. “Saya tidak tahu sangat apa yang akan berlaku dalam perhimpunan itu. Presiden memuji kerja saya dan mengumumkan pembaharuan saya, saya memujinya. Apabila 150 orang bertepuk tangan, sukar untuk menjadi satu-satunya yang tidak.” – AP

    Persekutuan bola sepak Sepanyol telah memecat Jorge Vilda kurang daripada tiga minggu selepas Sepanyol memenangi gelaran Piala Dunia Wanita. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Pakistan arah warga Afghanistan tinggalkan negara

    ISLAMABAD, 4 OKT - Ratusan ribu rakyat Afghanistan yang tinggal secara haram di Pakistan telah diberi masa sehingga 1 November untuk meninggalkan negara itu...