Jurulatih PIP raih pengiktirafan

Oleh Fadhil Yunus

KUALA LUMPUR, 13 NOV – Usaha berterusan Brunei Darussalam untuk membangunkan arena bola sepak peringkat akar umbi mendapat pengiktirafan yang lebih luas apabila jurulatih Projek Ikan Pusu (PIP), Haji Omar bin Haji Jamil mendapat penghargaan tempat kedua bagi Pelatih Terbaik Belia (Lelaki) pada Persidangan Belia Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) 2019 di Kuala Lumpur, Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, Jurulatih Terbaik Belia (Lelaki) tempat pertama dimenangi oleh Abdulwahab Alharbi dari Arab Saudi, yang merupakan jurulatih pasukan kebangsaan negaranya sejak 2017.

Haji Omar yang kini memegang jawatan pengurus Perlawanan Liga Belia, Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (NFABD), adalah antara 47 calon dari negara anggota AFC dalam acara penghargaan yang berprestij itu.

Pengiktirafan oleh AFC terhadap perkhidmatan lama Haji Omar menandakan satu lagi peristiwa penting dalam inisiatif negara untuk membangunkan bola sepak melalui akar umbi.

PIP telah berkembang pesat dari hanya 20 pelatih pada 2001 kepada lebih daripada 600 pelatih hari ini dan dilatih oleh pasukan jurulatih yang sangat berpengalaman, bersemangat dan komited di bawah ketua jurulatih, Haji Omar.

PIP juga telah dicalonkan oleh NFABD untuk bersaing dalam Anugerah Program Pengembangan Peringkat Akar Umbi Terbaik AFC 2018, di mana mereka menduduki tempat keenam daripada 47 negara anggota yang menyertai.

Gambar fail serahan PIP menunjukkan Haji Omar ketika bergambar bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino.