Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Jurupandu pelancong didenda provokasi gajah

    COLOMBO, 11 FEB – Seorang jurupandu pelancong Sri Lanka yang menakut-nakutkan seekor gajah liar lalu memuat naik video ke laman media sosial TikTok telah dikenakan denda atas kesalahan kekejaman terhadap haiwan, menurut pegawai hari ini, dalam kes yang mencetuskan kemarahan awam.

    Pihak berkuasa hidupan liar mengenal pasti Shashika Gimhan Dhananjaya Rajasinghe menerusi muatan di media sosial dan mahkamah mendendanya AS$1,000, jumlah yang kira-kira 20 kali ganda gaji minimum bulanan di Sri Lanka.

    Akaun media sosialnya telah dipadamkan namun video menunjukkan dia memprovokasi gajah masih dikongsikan di beberapa platform media sosial.

    Dalam klip berdurasi 20 saat, lelaki itu tidak kelihatan tetapi kenderaan biru dengan lampu menyala-nyala mengejar haiwan di luar laluan jalan raya pada kejadian yang berlaku di bandar Habarana.

    Dalam klip itu juga menunjukkan gajah tersebut cuba berlindung di belakang sepohon pokok.

    Pengguna media sosial yang berang menggesa untuk tindakan keras dikenakan terhadap jurupandu pelancong berkenaan.

    “Denda sahaja tidak mencukupi bagi menghentikan kekejaman seperti ini,” kata pakar gajah Asia, Jayatha Jayewardene kepada AFP.

    “Mereka sepatutnya dikurung di dalam kenderaan mereka dan diharamkan dari taman hidupan liar.”

    Terdapat beberapa laporan mengenai jurupandu pelancong memandu terlalu dekat dengan haiwan liar di taman-taman negara dan menggunakan mercun untuk menakut-nakutkan haiwan apabila ia bertukar ganas.

    Sri Lanka mengetatkan undang-undang perlindungan haiwan liar tahun lalu dan memperkenalkan undang-undang bagi melindungi gajah, yang dianggap sebagai suci dan khazanah negara.

    Menangkap gajah liar di Sri Lanka dikira sebagai satu jenayah dan boleh dihukum mati, namun hukuman seperti itu jarang dilaksanakan.

    Aktivis hak asasi haiwan dan pakar gajah berkata lebih 40 ekor anak gajah telah dicuri dari taman hidupan liar negara dalam tempoh 15 tahun kebelakangan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...